Murid 11 tahun patah jari kaki dilanggar pemandu mabuk

Tangkap layar video yang tular menunjukkan Perodua Myvi melanggar mangsa yang sedang melintas jalan.
Tangkap layar video yang tular menunjukkan Perodua Myvi melanggar mangsa yang sedang melintas jalan.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang murid Tahun Lima cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Port Dickson di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian jam 7.10 pagi itu berlaku ketika Perodua Myvi dipandu suspek dalam perjalanan dari Pekan Port Dickson menghala ke Teluk Kemang.

"Pemandu itu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan telah melanggar murid berkenaan.

"Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami patah ibu jari kaki kanan serta luka di bahagian kaki dan tangan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, bertindak atas kejadian itu, polis menahan pemandu kereta terbabit yang berusia 28 tahun.

Mangsa patah ibu jari kaki kanan serta luka di kaki dan tangan,
Mangsa patah ibu jari kaki kanan serta luka di kaki dan tangan,

Menurutnya, ujian saringan yang dilakukan mendapati bacaan alkohol pemandu berkenaan sebanyak 230mg alkohol/100ml darah.

"Suspek direman bermula Khamis sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sabit kesalahan pemandu boleh dikenakan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!