Koronavirus: Siapa kata barang basah naik?
KERAJAAN Perlis menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali membuat pembelian panik khususnya melibatkan makanan asas kerana ia boleh membuka ruang kepada peniaga menaikkan harga barangan itu di negeri ini.
Bagaimanapun, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Penjaja dan Peniaga Kecil; Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; dan Pembangunan Usahawan dan Industri Kecil dan Sederhana, Azizan Sulaiman berkata, buat masa ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kenaikan harga tersebut.
Azizan berkata, mengambil contoh perkembangan penyakit koronavirus ketika ini, pembelian panik mungkin boleh berlaku sekiranya orang ramai mengamalkan sikap terlalu berhati-hati dengan tidak keluar rumah sehingga melakukan pembelian dalam kuantiti banyak, sekali gus mempengaruhi segelintir peniaga mengambil kesempatan bagi mengaut keuntungan.
“Bila bekalan barangan habis di pasaran, penjual atau peniaga akan naikkan harga sewenang-wenangnya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, katanya, pembelian panik melibatkan barangan makanan tidak berlaku di negeri ini dan harga barangan juga masih lagi terkawal.
“Kita minta kerjasama masyarakat untuk membuat laporan sekiranya harga barang makanan dilihat berlaku kenaikan,” katanya.
Menurutnya, hanya pembelian panik ke atas topeng muka berlaku ketika ini sehingga menyebabkan item tersebut kehabisan stok di beberapa kawasan di Kangar.
Bagaimanapun, katanya, pihak berwajib sudah mengambil langkah bagi memastikan bekalan topeng muka mencukupi.
Tiada laporan kenaikan harga barang
Sementara itu, KPDNHEP Kedah tidak menerima sebarang aduan kenaikan barangan asas disebabkan penularan wabak koronavirus.
Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Omar Ismail berkata, pihaknya tidak menerima aduan harga telur, ikan dan ayam naik setakat ini di seluruh negeri.
“Kita tidak menerima sebarang aduan berlaku kenaikan harga barang buat masa ini, namun peniaga diminta supaya tidak menaikkan harga barangan sesuka hati,” katanya semalam.
KPDNHEP Pulau Pinang juga turut mengesahkan tiada kenaikan harga barangan asas dilaporkan di negeri ini berikutan wabak koronavirus.
Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai perkara berkenaan.
"Anggota penguat kuasa KPDNHEP akan turun ke lapangan membuat tinjauan sekiranya berlaku kenaikan harga barang asas di negeri ini.
“Setakat ini kami memberi tumpuan kepada penjualan penutup muka yang harganya dikawal oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi.
Pembelian panik boleh pengaruhi kenaikan harga barang
Dalam pada itu peniaga di Kuantan, Pahang mengesahkan tiada sebarang kenaikan harga bagi barang keperluan asas seperti mana didakwa segelintir masyarakat ekoran wabak koronavirus ketika ini.
Rata-rata peniaga di Pasar Besar di sini mendakwa isu mengenai kenaikan harga barang seolah-olah bertujuan menimbulkan situasi panik kepada masyarakat setempat.
Tinjauan Sinar Harian mendapati harga ayam masih kekal pada harga RM8.50 sekilogram selepas berakhirnya skim harga kawalan musim perayaan pada 2 Februari lalu, manakala ikan selayang RM6 sekilogram, ikan tongkol RM10 sekilogram, kembung (RM12 sekilogram), harga telur Gred A RM34 bagi 100 biji dan Gred B pula RM33.
Peniaga ayam, Azizah Omar, 31, turut menolak dakwaan wujudnya kenaikan harga ayam segar.
"Harga masih sama, mana ada kenaikan. Kalau seminggu lalu memang harga ayam murah tapi itu disebabkan harga kawalan musim perayaan.
"Jadi, pada 4 Februari lalu harga ayam dijual RM8.50 sehingga ke hari ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, isu kenaikan harga selalu dimainkan oleh netizen, namun ia sebenarnya tidak berlaku kerana pihak berkaitan sentiasa menjalankan pemantauan dari segi harga.
Sementara di Kuala Terengganu, harga barangan basah seperti ikan, sotong dan udang masih kekal stabil di sebalik kebimbangan tentang wabak koronavirus.
Musim monsun belum berakhir
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Payang semalam mendapati harga sesetengah ikan dan sotong agak tinggi kerana kesukaran untuk mendapatkan bekalan kerana musim monsun yang masih belum berakhir.
Peniaga, Mohd Nor Chik, 54, ketika ditemui berkata, harga tidak banyak berubah selepas musim tengkujuh lalu kerana bekalan ikan tempatan adakalanya kurang, sehingga terpaksa membawa masuk ikan dari luar.
"Ikan kembung segar dijual pada harga RM18 sekilogram, selayang RM10, ikan aya@tongkol RM10, harga sotong antara RM32 hingga RM33, manakala sotong kecil berharga antara RM16 hingga RM17.
"Kalau diikutkan, harga turun naik ikan dan barangan basah lain lebih bergantung kepada bekalan dan musim. Tiada pembelian panik atau kesukaran bekalan kerana kebimbangan wabak ini," katanya.
Peniaga barangan basah di Selayang, Selangor pula pula tidak berdepan masalah kekurangan bekalan kerana ia diperoleh daripada pengeluar tempatan dan bukan diimport dari China.
Pengerusi Persatuan Pemborong dan Penaja Kecil Melayu Pasar Harian Selayang Kuala Lumpur, Abdul Aziz Mohd Alias berkata, aktiviti perniagaan juga berjalan lancar tanpa sebarang pembelian panik dan harga jualan masih pada kadar ditetapkan.
"Kita tidak terjejas kerana tiada barangan basah yang diimport dari China. Bekalan dalam negara seperti dari Cameron Highlands masih cukup untuk menampung keperluan dan permintaan tempatan.
"Ada beberapa barang seperti lobak merah dan bawang yang diimport tapi dari negara lain pun masih berada pada harga stabil," katanya kepada Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!