'Geng Takim' aktif pecah rumah tumpas di Changkat Jering, tiga ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TAIPING - Polis berjaya menyelesaikan 13 kes pecah premis dan curi kenderaan selepas menahan dua lelaki dan seorang wanita dipercayai anggota kumpulan dikenali sebagai Geng Takim dalam Op Pintu Khas di Changkat Jering di sini, 7 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, susulan penahanan semua suspek yang berusia 21 hingga 35 tahun itu, polis berjaya menemukan beberapa barangan curi bernilai kira-kira RM60,000 di kediaman mereka.

"Semua suspek ditahan di sebuah kediaman (di Changkat Jering) sekitar 1.30 petang. Ketika serbuan polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan itu seperti tukul besi, tukul kuku kambing, pemotong besi dan pemutar skru.

"Hasil tangkapan itu turut menemukan kembali barang yang dicuri sejak awal tahun ini seperti komputer riba, set generator, tong gas, tayar motor, bateri kereta, telefon bimbit dan aksesori kereta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, pihak polis turut merampas sebuah lori bermuatan satu tan serta sebuah skuter jenama Vario di lokasi berasingan, dan siasatan lanjut mendapati sindiket ini mula bergerak aktif sejak awal tahun lepas, dengan menumpukan kegiatan mereka di kawasan perumahan, sekolah dan kedai runcit.

"Kesemua tangkapan juga mempunyai rekod jenayah lampau, dengan suspek utama mempunyai 30 kes jenayah melibatkan kesalahan curi dan penyalahgunaan dadah,” katanya dan menambah ketiga-tiga suspek direman sejak 8 Oktober lepas bagi membantu siasatan.

Mohamad Nasir berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!