Presiden Perancis kesal operasi ketenteraan Israel di Lubnan berterusan

Emmanuel Macron
Emmanuel Macron
A
A
A

ISTANBUL - Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyatakan kekesalan terhadap serangan berterusan Israel di Lubnan dan kecewa kerana seruan gencatan senjata selama 21 hari yang dibuat bersama Presiden AS, Joe Biden masih belum dipertimbangkan, lapor Agensi Anadolu.

"Saya kesal kerana Israel meneruskan operasi ketenteraannya di selatan Lubnan, di Beirut, dan tempat lain, serta jumlah mangsa awam terus meningkat,” kata Macron semasa persidangan bantuan untuk Lubnan di Paris pada Rabu.

Presiden Perancis itu menyatakan bahawa beliau kesal "rayuan yang dibuat oleh Presiden Biden dan... (beliau) pada 25 September untuk gencatan senjata selama 21 hari tidak diendahkan."

Menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata bagi melindungi orang awam yang terjejas akibat konflik, Macron mengumumkan bahawa negara itu akan menyumbang €100 juta (US$106 juta) sebagai bantuan kepada Lubnan sebagai tindak balas kepada rayuan PBB yang memerlukan €426 juta untuk membantu negara itu.

"Kita mesti melindungi keluarga, memberi makan kepada kanak-kanak, dan memastikan pelajar meneruskan pendidikan mereka,” katanya.

Mengkritik Israel kerana meneruskan operasi ketenteraannya di Lubnan yang menyebabkan jumlah korban awam terus meningkat, beliau berkata: "Perang ini mesti berakhir secepat mungkin; mesti ada gencatan senjata di Lubnan."

Beliau menyatakan solidariti dengan Lubnan, menekankan keperluan segera untuk bantuan kemanusiaan di tengah-tengah peningkatan pemindahan paksa akibat operasi ketenteraan Israel.

"Pelaksanaan penuh Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu oleh semua pihak adalah penting untuk mencapai keamanan dan keselamatan," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati dalam ucapannya, mengulangi gesaan untuk gencatan senjata segera yang boleh "memberi kesan langsung dalam meredakan ketegangan” di selatan Lubnan dan membuka jalan ke arah "kestabilan jangka panjang yang mampan” serta "laluan diplomatik.”

"Kehilangan nyawa orang awam di Lubnan dan kemusnahan boleh dielakkan jika Israel bersetuju menyokong kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 25 September, yang diketuai oleh AS dan Perancis,” kata Mikati.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam mesej video semasa persidangan itu menggesa "rakan Lubnan untuk menyokong usaha tindak balas kemanusiaan yang sedang berlangsung, termasuk menyediakan dana segera untuk Rayuan Kilat Lubnan.”

Beliau kesal dengan keadaan yang teruk di rantau itu dan menyatakan bahawa "apa yang berlaku di Lubnan hari ini bukanlah fenomena yang terpencil."

Guterres memberi amaran terhadap 'ancaman yang semakin meningkat mengenai konflik besar antara Israel dan Iran yang boleh menggugat keseluruhan rantau ini,' sambil mengulangi gesaan untuk gencatan senjata di Lubnan dan Gaza.

Sekurang-kurangnya 2,574 orang telah terbunuh dan lebih 12,000 cedera dalam serangan Israel sejak Oktober tahun lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Israel meluaskan konflik pada 1 Oktober tahun ini dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan. - Bernama/Anadolu

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!