Hujan batu bukan petanda banjir besar - Penyelidik

Sebanyak 244 rumah rosak dalam kejadian ribut dan hujan batu di daerah Kemaman.
Sebanyak 244 rumah rosak dalam kejadian ribut dan hujan batu di daerah Kemaman.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Fenomena hujan batu yang melanda bandar Chukai, Kemaman dan kawasan sekitar pada semalam bukan penanda aras banjir besar bakal melanda pantai timur tahun ini seperti didakwa segelintir pihak.

Penyelidik iklim dan cuaca, Dr Chung Jing Xiang berkata, sebaliknya hujan batu antara ciri-ciri peralihan monsun daripada Monsun Barat Daya sejak 24 September lepas sebelum memasuki Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula awal November.

Ciri-ciri peralihan monsun ialah langit biasanya cerah pada waktu pagi dan tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang akan menggalakkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam jangka singkat sekali gus berpotensi menjana puting beliung dan menghasilkan hujan batu.

"Ia (hujan batu) tidak dapat digunakan untuk meramal sama ada banjir besar akan berlaku atau tidak di sesuatu kawasan.

"Bagaimanapun, pantai timur bakal dilanda MTL dan kalau ikut sejarah lepas, risiko banjir berlaku adalah tinggi namun ramalan banjir besar tidak dapat dilakukan buat masa ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, untuk meramal cuaca jangka panjang dan pontensi banjir besar, penyelidik menggunakan peredaran atmosfera pada skala besar seperti perubahan Ayunan Selatan El Nino, Dwipolar Lautan Hindi dan Ayunan Madden-Julian.

"Dan kita juga perlu perhatikan kekacauan atmosfera seperti angin luruan sejuk dari utara dan kejadian Pusaran Borneo semasa berlakunya MTL untuk kita lebih tepat meramal sama ada banjir besar akan berlaku dan di mana akan berlaku.

"Contohnya, kalau ada La Nina, keberangkalian hujan lebat boleh terjadi dan banjir boleh berlaku. Ataupun terdapatnya luruan angin kuat, ia boleh membawa kelembapan ke kawasan kita dan menyebabkan hujan lebat berpanjangan dan banjir,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi tinjauan cuaca jangka panjang bagi Oktober 2024 hingga Mac tahun depan memaklumkan hanya daerah Besut dijangka menerima jumlah hujan sedikit melebihi paras purata iaitu pada Disember tahun ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah juga sebelum ini dilaporkan berkata, La Nina yang lazimnya bertahan antara lima hingga 18 bulan dijangka berada pada kekuatan lemah atau sederhana berdasarkan model ramalan antarabangsa.

Semalam, bandar Chukai dan kawasan dalam radius tiga kilometer di sekitarnya dikejutkan dengan hujan batu dan ribut petir yang mengakibatkan kemusnahan infrastrukur terhadap lebih 200 unit rumah dan sekolah, pokok tumbang selain mencederakan seorang lelaki akibat dihempap runtuhan pondok sewaktu berlindung.

Seramai 18 mangsa daripada tujuh keluarga termasuk empat kanak-kanak kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Gong Pauh akibat kediaman mereka mengalami kerosakan teruk. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!