‘Memang Prasarana diberi subsidi sejak hari pertama' - Anthony
KUALA LUMPUR - Subsidi kerajaan yang diberikan kepada Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) adalah bagi memastikan rakyat mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik, selain membantu mereka mengurangkan kos sara hidup.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan, termasuk dengan pelaksanaan pas bulanan My50 agak tinggi, iaitu RM1,200 untuk setiap pengguna setahun.
Katanya lagi, subsidi berkenaan penting memandangkan 60 peratus pengguna My50 datang daripada golongan B40.
“Sebab itu kerajaan memberi subsidi, kerana subsidi kepada Prasarana adalah subsidi kepada rakyat, bagi menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam. Kita lakukan (pemberian subsidi) ini berdasarkan beberapa objektif, iaitu mengurangkan kos sara hidup, dan keduanya mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan.
“Bayangkan jika kita tidak ada pas My50, golongan ini tiada pilihan lain melainkan menggunakan kenderaan sendiri, dan sudah tentu ia akan menambahkan kesesakan di atas jalan raya,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Taklimat Operasi RapidKL pasca-Belanjawan 2025 di stesen LRT Pasar Seni, di sini pada Khamis.
Pada Ogos lepas, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Ridza Mohd Abdoh dilaporkan berkata, pemberian subsidi melalui syarikat itu akan ‘membunuh’ motivasi dan inovasi Prasarana.
Ridza mendakwa, berdasarkan pemerhatiannya, keadaan yang berlaku adalah seolah-olah syarikat itu yang diberi subsidi.
Menjawab kritikan tersebut, Anthony berkata, memang sejak hari pertama lagi Prasarana diberi subsidi, dengan tujuan untuk membolehkan rakyat menikmati sistem pengangkutan awam yang murah dan efisyen dalam kehidupan seharian mereka.
“Dari sudut pandang yang lebih holistik, memang kita perlu buat demikian. Terima kasih kepada Kementerian Kewangan yang memahami aspirasi kami, terutamanya dalam menambah peruntukan menjadi dua kali ganda.
“Dua tahun lalu peruntukan (subsidi) adalah RM110 juta, kini dah meningkat RM216 juta. Harapnya di masa akan datang, peruntukan ini akan terus bertambah,” katanya lagi.
Dalam pada itu Anthony berkata, data menunjukkan lebih 220,000 pengguna pas bulanan My50 sebulan dicatat setakat September tahun ini, dua kali ganda berbanding inisiatif itu mula-mula diperkenalkan pada 2019 iaitu 98 ribu penumpang.
“Satu peningkatan yang agak baik dan menunjukkan inisiatif ini berjaya menarik lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam. Sudah tentu angka ini akan terus meningkat untuk tahun hadapan kerana kita akan melihat satu lagi laluan beroperasi LRT 3.
“Dengan adanya LRT3, kita yakin jumlah pengguna My50 ini akan terus meningkat. Dan kita memang alu-alukan orang ramai gunakan pas 50, inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan menggalakkan lebih ramai orang, tapi dari segi praktikal dapat mengurangkan kos sara hidup,” katanya lagi. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!