Sungai tercemar jangan sibuk salahkan bangau

Antara laporan Sinar Harian mengenai kes pencemaran yang berlaku di Johor.
Antara laporan Sinar Harian mengenai kes pencemaran yang berlaku di Johor.
A
A
A

MENDENGAR Belanjawan 2025 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas, mengenai langkah mengekang pencemaran air khususnya di Pasir Gudang, Johor membuatkan penulis teringatkan tragedi Sungai Kim Kim.

Langkah diumumkan dalam belanjawan itu membabitkan projek menaik taraf loji rawatan kumbahan serantau sedia ada dan membina rangkaian paip pembetungan di Sungai Kim Kim yang menghubungkan Pasir Gudang dan Masai.

Sedar atau tidak, sudah lima tahun tragedi pencemaran Sungai Kim Kim yang menggemparkan negara pada Mac 2019 berlalu.

Pencemaran itu telah menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup serta mengakibatkan 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Sejarah pahit itu, pasti sukar dilupakan mangsa yang mengalami kesan sampingan terutama Irfan Wafiy Idham Wazir, 16, yang masih menderita penyakit miokimia.

Begitu juga rakyat Johor, setiap kali sungai dilaporkan tercemar dengan air bertukar warna kehitaman dan berbau busuk pastinya akan mengimbau tragedi Sungai Kim Kim.

Pada awal bulan lalu, satu pencemaran bau yang kuat dilaporkan berlaku di tiga kawasan membabitkan Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa di Johor Bahru.

Jabatan Alam Sekitar Johor dilaporkan mengesan kehadiran gas amonia tinggi melebihi tahap normal di kawasan Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan.

Artikel Berkaitan:

Penduduk mendakwa pencemaran bau di kampung berkenaan dan kawasan sekitarnya sangat kuat sehingga memeningkan kepala, menyebabkan beberapa buah sekolah ditutup.

Penutup hidung dan mulut terpaksa dipakai penduduk bagi mengurangkan kesan bau tersebut.

Ia seterusnya merebak ke beberapa kawasan perumahan sejak Selasa lalu dan terkini, mengancam penduduk di sekitar Kampung Maju Jaya di Jalan Seelong-Senai, Taman Perling dan Bandar Baru Uda.

Insiden pencemaran bau kimia yang berlaku di beberapa kawasan penempatan di Johor Bahru pada bulan lalu, bukan pertama kali berlaku.

Tiga tahun lepas, Kampung Tawakal di bawah Parlimen Tebrau menerima kesan sama menyaksikan penduduk Kampung Baru Sri Aman pengsan dan ada yang terpaksa dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Gesaan seterusnya dibuat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mahu pelaku yang menyebabkan pencemaran bau kimia di beberapa kawasan di negeri ini dicekup dan diheret ke mahkamah.

Biarpun pelaku pencemaran bahan kimia ini sudah diheret ke muka pengadilan dan ada yang sudah dijatuhi hukuman namun isu pencemaran sungai bagaikan tiada kesudahan.

Timbul persoalan, apakah tindakan yang diambil masih belum dapat menyelesaikan isu pencemaran sehingga menyebabkan ia kerap berulang.

Seperti lagu Bangau Oh! Bangau, daripada bangau yang menyalahkan ikan tidak timbul kemudian rumput panjang sehingga ular, semuanya menuding jari kepada pihak lain bagi mencari alasan.

Sewajarnya sindrom Bangau Oh! Bangau ini tidak wujud dalam menyelesaikan isu pencemaran sungai kerana terdapat sungai yang dahulu cukup tercemar di Johor Bahru kini sudah tidak lagi busuk.

Sungai Segget yang terletak betul-betul di tengah bandar raya Johor Bahru yang dahulu dikenali dengan imej kotor, busuk dan pernah menjadi antara sungai paling tercemar di Malaysia kini sudah berubah.

Perubahan Sungai Segget yang kini memiliki pemandangan indah dan menjadi lokasi pelancongan mengejutkan banyak pihak.

Manakan tidak, selepas 50 tahun, Sungai Segget sepanjang 3.4 kilometer kembali jernih dan bersih.

Tidak mustahil sungai-sungai yang tercemar sebelum ini mampu dipulihkan kerana dengan melakukan pencegahan dan kawalan pencemaran air.

* Nor Azura Md Amin ialah wartawan Sinar Harian Johor

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!