Polis tumpas sindiket restoran jual piza dadah

Restoran menjual piza bersama dadah berjaya ditumpaskan polis Jerman. Foto Agensi
Restoran menjual piza bersama dadah berjaya ditumpaskan polis Jerman. Foto Agensi
A
A
A

BERLIN - Tindakan licik sebuah restoran piza yang menjual pesanan sampingan dadah jenis kokain dengan meletakkan kod menu rahsia bernombor 40 telah membawa padah apabila premis itu diserbu polis baru-baru ini.

Polis berkata, restoran yang terletak di Dusseldorf, barat Jerman akan menyediakan menu sampingan kokain apabila pelanggan memesan menu khas bernombor 40.

"Pizza bernombor 40 adalah menu paling laris di restoran itu,"kata Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik, Michael Graf von Moltke.

Taktik licik itu bocor semasa pihak berkuasa memeriksa salah satu menu pizza yang mencurigakan di restoran tersebut pada Mac lalu.

Polis mendapati menu bernombor 40 paling disukai pelanggan dan siasatan lanjut mendapati ia sebenarnya adalah kod untuk pembelian dadah jenis kokain yang dijual di restoran itu.

Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga pengurus di restoran pizza itu.

Bagaimanapun selepas lelaki itu dibebaskan, suspek didapati membuka perniagaannya semula dan menjual pizza dan menggunakan modus operandi yang sama.

Seramai 150 anggota polis yang menyerbu restoran baharunya dan rumah rakan-rakannya di barat Jerman telah berjaya menahan 12 suspek termasuk ketua kumpulan itu yang berusia 22 tahun.

Artikel Berkaitan:

Semasa serbuan dilakukan mereka turut menjumpai dua ladang ganja di Monchengladbach dan Solingen yang masing-masing mengandungi ratusan pokok ganja ditanam di situ. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!