Pinda undang-undang jenayah syariah banteras ajaran sesat

Kerajaan perlu meminda undang-undang jenayah syariah sedia ada supaya lebih tegas bagi mengekang dan membanteras kumpulan ajaran sesat yang semakin bercambah dalam negara.
Kerajaan perlu meminda undang-undang jenayah syariah sedia ada supaya lebih tegas bagi mengekang dan membanteras kumpulan ajaran sesat yang semakin bercambah dalam negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu meminda undang-undang jenayah syariah sedia ada supaya lebih tegas bagi mengekang dan membanteras kumpulan ajaran sesat yang semakin bercambah dalam negara.

Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi berkata, undang-undang untuk kesalahan ajaran sesat masih lagi diikat formula 356 iaitu maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan seperti termaktub di dalam Akta 355.

“Hukuman itu sudah terlalu lama, jadi saya cadangkan peruntukan terhadap undang-undang ini dapat dipinda dan memberi hukuman yang lebih keras kepada individu atau kumpulan ajaran sesat.

“Selain itu, ia juga boleh dijadikan sebagai peringatan dan juga amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menyebarkan ajaran sesat dalam negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, antara tindakan yang boleh dilakukan kerajaan adalah dengan mewujudkan lebih banyak pusat pemulihan.

“Setakat ini yang saya tahu, hanya ada di Selangor dan Negeri Sembilan. Kalau boleh pusat pemulihan ini ada di setiap negeri supaya mana-mana individu yang terkesan dengan ajaran sesat, mereka boleh terus dibawa untuk mendapatkan pemulihan.

“Selain itu, dari sudut penguatkuasaan juga perlu diperkasakan kerana yang sedia ada kini dilihat terlalu lemah.

“Kadang-kadang proses siasatan untuk satu-satu kes itu makan masa yang sangat lama,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Engku Ahmad Zaki, berdasarkan kajian yang dilakukan pada tahun 2000 hingga 2005, beliau mendapati lebih 120 kumpulan ajaran sesat dikenal pasti di Malaysia.

Katanya, itu merupakan data 20 tahun lalu dan tidak menolak kemungkinan jumlah tersebut sudah bertambah kepada angka yang tidak dapat dijangka.

“Ajaran sesat ini dia ada banyak, setiap negeri ada. Jadi, unit penyelidikan dari jabatan agama setiap negeri perlu melakukan kajian menyeluruh untuk mengenal pasti berapa jumlah sebenar kumpulan tersebut.

“Kedua, kerjasama daripada pihak penguat kuasa. Ini sangat penting, sebab bila kita sebut tentang penguatkuasaan mesti orang akan ingat yang tangkap basah atau tidak solat Jumaat dan sebagainya.

“Tetapi mereka ini juga ada unit berkaitan ajaran sesat yang memainkan peranan besar dalam membanterasnya. Sebenarnya, semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini,” jelasnya.

Ujarnya, di bawah bidang penguat kuasa juga terdapat unit pendakwaan yang bertanggungjawab untuk mendakwa ajaran yang salah dan membawa kepada mahkamah.

Engku Ahmad Zaki menasihatkan semua umat Islam supaya tidak terjebak dengan ajaran sesat menerusi pemantapan ilmu akidah dan ibadah.

“Antara sebab utama yang menyebabkan orang mudah terjebak dengan sesat ialah kerana mereka jahil tentang Islam itu sendiri. Sebab apabila kita dah ada asas akidah, jadi kita tidak akan mudah percaya dengan sebarang ajaran menyimpang,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!