Kemas pandang serius isu kelewatan peruntukan PBMT di Sabak Bernam, Kuala Selangor

Kemas memandang serius isu berhubung peruntukan PBMT Fasa 2 yang masih belum diterima Tabika Kemas di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
Kemas memandang serius isu berhubung peruntukan PBMT Fasa 2 yang masih belum diterima Tabika Kemas di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memandang serius isu tular berhubung peruntukan Program Bantuan Makanan Tambahan (PBMT) Fasa 2 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas dari Julai lalu hingga Disember depan yang masih belum diterima di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Kemas dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya sedang mengambil tindakan bagi menangani perkara itu dengan teliti termasuk memperkemas proses penyaluran peruntukan agar ia dapat diselesaikan segera.

"Kemas ingin menegaskan bahawa jabatan ini komited dalam memastikan semua program yang dilaksanakan termasuk PBMT berjalan lancar dan menepati objektif memberikan manfaat sewajarnya kepada kumpulan sasar," kata kenyataan itu pada Khamis.

Sehubungan itu, kenyataan itu memberitahu, Kemas menghargai keprihatinan dan sokongan semua pihak dalam perkara berkenaan.

Sebelum ini, bekas guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh dalam Facebook beliau mendakwa peruntukan PBMT Kemas di dua daerah terbabit masih belum diterima sejak Julai lalu.

Menurut Mohd Fadli, keadaan itu menyebabkan guru Kemas terpaksa mendahulukan duit mereka untuk membeli makanan kanak-kanak di tabika terlibat.

"Bila sudah terdesak, sampai tak tahu hendak buat macam mana, ada cikgu (Tabika Kemas) syorkan buat aduan (secara rasmi kepada) SISPAA (Sistem Pengurusan Aduan Awam) beramai-ramai.

"Siapa ada kenalan di bahagian HQ (Ibu Pejabat) Kemas mohon panjangkan isu ini," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fadli turut memuat naik hantaran tangkapan skrin di Facebook mengenai aduan dan masalah dihadapi guru Tabika Kemas akibat kelewatan peruntukan berkenaan.

Menurut aduan itu, guru Tabika Kemas di dua daerah terbabit terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menanggung kos makanan kanak-kanak.

Perbelanjaan itu meliputi pembelian barangan basah dan kering sejak dari Julai lalu sehingga sekarang.

Terdapat juga Tabika Kemas menggunakan khidmat pembekal terpaksa berhutang sejak tempoh terbabit.

Aduan itu memaklumkan, terdapat pembekal telah menghentikan bekalan barangan basah dan kering akibat kelewatan menerima bayaran.

Aduan itu memberitahu, ada dalam kalangan guru Tabika Kemas terpaksa menangguhkan ansuran bayaran bulanan kenderaan kerana mendahulukan wang untuk perbelanjaan makanan kanak-kanak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!