Pemain muda Spurs dibandingkan dengan Neymar

Mikey Moore (tengah) yang baru berusia 17 tahun, mengucar-ngacirkan pertahanan AZ ketika beraksi di bahagian sayap kiri. Foto Agensi
Mikey Moore (tengah) yang baru berusia 17 tahun, mengucar-ngacirkan pertahanan AZ ketika beraksi di bahagian sayap kiri. Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN remaja, Mikey Moore dibandingkan dengan bintang Brazil, Neymar selepas beraksi cemerlang dalam kemenangan 1-0 Tottenham Hotpsur ke atas AZ Alkmaar di Liga Europa pada Khamis.

Aksi cemerlang Moore turut mendapat pujian pengendali Spurs, Ange Postecoglu namun memberi amaran ia akan menjadi sukar untuk 'mengawal' jangkaan terhadap pemain berusia 17 tahun itu.

Moore yang diturunkan buat kali kedua dalam skuad utama, bersinar di bahagian sayap kiri dan sering membuat pertahanan AZ keliru.

“Dari minit ke-45 hingga 65, saya rasa kami ada Neymar di sayap kiri! Dia sangat hebat.

"Dia meminta bola dan tidak takut. Sudah tentu anda tidak mahu dia kehilangan mentaliti berani itu,” kata kapten Spurs, James Maddison kepada TNT Sports.

Dalam pada itu, Postecoglou mengakui bahawa dia menghadapi cabaran untuk mengawal jangkaan tentang apa yang boleh disumbangkan oleh Moore untuk kelab London itu.

“Agak sukar untuk saya mengawal jangkaan sekarang, bukan? Dia sangat menarik. Tidak ada gunanya menafikan perkara itu.

"Saya suka cara Mikey menghadapi lawan dengan tenang, dia bekerja keras setiap hari. Dia mahu berkembang, dia faham bahawa ini adalah satu perjalanan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Namun, Postecoglou memberi amaran: “Kami perlu berhati-hati tentang bagaimana dan bila kami menggunakan Mikey, itulah kunci bagi kami, terutamanya pada peringkat awal ini.”

Gol kemenangan Spurs dijaringkan Richarlison yang tenang menyempurnakan penalti m-53.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut Spurs dalam saingan Liga Europa musim ini menyertai Lazio dan Anderlecht yang turut menang kesemua tiga perlawanan pertama mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!