Zikir penenang apabila dihimpit rasa bebanan
Amalan mudah dekatkan diri kepada ALLAH SWT, bantu seimbangkan tuntutan duniawi dan ukhrawi
DALAM perjalanan hidup sebagai Muslim, kita sering berhadapan dengan pelbagai tuntutan dan cabaran dalam mengamalkan syariat Islam.
Walaupun sudah sedaya mungkin untuk memenuhi setiap kewajipan, tidak dapat dinafikan adakalanya terbit rasa terbeban dengan banyaknya tanggungjawab yang perlu dipikul.
Ketahuilah bahawa hadis Rasulullah SAW memberikan panduan dan motivasi yang sangat relevan untuk kita amalkan khususnya dalam usaha membina sebuah masyarakat seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi.
Abdullah bin Busr RA berkata: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya syariat Islam terlalu banyak untuk kami amalkan. Maka beritahulah aku sesuatu yang aku boleh pegang teguh dengannya.” Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah lidahmu basah dengan berzikir kepada ALLAH.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Tatkala kita dihimpit perasaan terbeban, Rasulullah SAW memberikan satu penyelesaian yang mudah, tetapi begitu mendalam iaitu dengan sentiasa berzikir kepada-NYA.
Pengajaran Hadis
Menerusi nas itu, ia memberikan iktibar kepada kita bahawa:
1. Amalan zikir mudah dan berkesan.
Zikir boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa tanpa memerlukan usaha fizikal yang berat.
Bagi seorang Muslim yang mungkin merasa sukar untuk melaksanakan amalan-amalan besar secara konsisten, zikir merupakan jalan mudah untuk sentiasa mengingati ALLAH.
Dengan berzikir, kita dapat mengekalkan hubungan rohani dengan Sang Pencipta dan meraih ketenangan dalam kehidupan yang sibuk.
2. Hubungan zikir dengan pembinaan masyarakat bertamadun.
Dalam konteks Malaysia Madani, hadis itu memberi penekanan kepada aspek spiritual dan moral yang merupakan teras kepada pembangunan masyarakat yang adil, berimbang dan harmoni.
Malaysia Madani adalah sebuah gagasan yang bertujuan untuk membentuk negara maju dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, pendidikan, teknologi dan paling utama, rohani serta moral.
Zikir sepertimana dianjurkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis itu merupakan satu cara yang efektif untuk membina ketahanan rohani individu dalam menghadapi cabaran kehidupan moden.
Melalui zikir, individu Muslim dapat mengekalkan keimanan yang kuat, kesabaran dan rasa syukur, yang semuanya merupakan nilai penting untuk membina masyarakat Madani bermoral dan bertanggungjawab.
3. Keseimbangan duniawi dan ukhrawi.
Amalan zikir juga berfungsi sebagai pengingat kepada manusia tentang tujuan hidup mereka di dunia. Ia membawa kita kembali kepada asas bahawa kehidupan di muka bumi ini adalah sementara dan yang lebih utama adalah kehidupan di akhirat.
Dalam konteks itu, Malaysia Madani bukan sahaja memberi perhatian kepada kemajuan material dan fizikal negara, tetapi juga kepada kesejahteraan rohani dan spiritual rakyatnya.
Membasahkan lidah dengan zikrullah membantu individu Muslim mengekalkan keseimbangan antara tuntutan duniawi dan persiapan untuk akhirat.
Dengan sentiasa mengingati ALLAH, kita dapat mengawal diri daripada kelalaian terhadap tanggungjawab rohani, sekali gus memastikan diri tidak terjebak dengan hanya mengejar kesenangan duniawi semata-mata.
4. Pembentukan karakter dan moral yang baik.
Muslim yang berzikir secara konsisten akan sentiasa merasa dekat dengan ALLAH.
Rasa kehadiran ALLAH dalam hati dan minda itu akan menjadi perisai bagi individu daripada melakukan dosa dan maksiat. Dalam jangka panjang, zikir membantu seseorang mengekalkan akhlak mulia selari dengan nilai-nilai Islam yang syumul.
Ini sejajar dengan objektif Malaysia Madani yang mahu melahirkan rakyat berintegriti, bermoral dan bertanggungjawab.
Masyarakat yang dipenuhi dengan individu yang sentiasa mengingati ALLAH SWT melalui zikir akan menjadi lebih tenang, harmoni dan saling menghormati, sesuai dengan matlamat sebuah negara madani.
Kuatkan hubungan rohani
Tuntasnya, ibrah daripada hadis itu jelas membawa mesej yang sangat relevan dalam usaha kita membina sebuah Malaysia Madani.
Walaupun syariat Islam itu luas dan penuh dengan pelbagai tanggungjawab, zikir merupakan amalan yang mudah, tetapi sangat berkesan untuk mendekatkan diri kita kepada Sang Khalik.
Sesibuk mana pun kita dengan pelbagai urusan, zikrullah menjadi jalan mudah dan ampuh untuk menguatkan hubungan rohani dengan ALLAH SWT, sekali gus membantu kita mencapai keseimbangan antara kehidupan dunia dan persiapan menuju ke akhirat.
Mengertilah apabila bibir kita sentiasa basah dengan ungkapan mulia itu secara istiqamah, individu Muslim akan menjadi lebih tenang, sabar dan sentiasa sedar akan tanggungjawabnya kepada Sang Pencipta dan masyarakat.
Seterusnya ia akan menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang harmoni, adil, dan maju selari dengan visi Malaysia Madani yang berteraskan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan sejagat.
*Artikel ditulis oleh Ustaz Mohd Ridwan Razali yang merupakan Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!