Lindungi kebajikan pekerja berpendapatan rendah

Pengumuman gaji minumum RM1,700 memberikan manfaat kepada pekerja berpendapatan rendah. - Gambar hiasan
Pengumuman gaji minumum RM1,700 memberikan manfaat kepada pekerja berpendapatan rendah. - Gambar hiasan
A
A
A

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan dalam pembentangan Belanjawan 2025.

Ia antara langkah strategik Kerajaan Malaysia yang bertujuan melindungi kebajikan pekerja berpendapatan rendah dengan meningkatkan pendapatan mereka untuk berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kenaikan gaji minimum bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja tetapi ia secara tidak langsung memacu kepada peningkatan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Peningkatan kuasa beli pekerja akan merangsang permintaan dalam sektor peruncitan dan perkhidmatan.

Langkah ini menimbulkan cabaran kepada sektor yang bergantung kepada banyak tenaga seperti pembinaan, perladangan dan pembuatan kerana menghadapi kos tambahan yang akan memberikan kesan kepada keuntungan mereka.

Kerajaan perlu memantau kesan kenaikan gaji minimum ini secara teliti dengan memberikan sokongan kepada sektor yang terkesan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi mampan dan berdaya saing.

Melalui langkah ini, diharapkan Malaysia dapat mencapai keseimbangan antara melindungi kebajikan pekerja dan memastikan kelangsungan perniagaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Perlindungan sosial Malaysia telah melaksanakan Dasar Gaji Minimum bermula 2011 apabila Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Akta 732) digubal.

Artikel Berkaitan:

Perintah Gaji Minimum (PGM) pertama telah diwartakan pada 2012.

Lima PGM telah dilaksanakan sehingga kini dan PGM 2024 adalah PGM terbaharu yang dijangka akan diwarta dalam masa terdekat.

Proses penetapan gaji minimum adalah melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menetapkan objektif Dasar Gaji Minimum adalah untuk memastikan keperluan asas pekerja dan keluarga mereka dapat dipenuhi.

“Ia juga bertujuan memberikan perlindungan sosial yang mencukupi kepada pekerja-pekerja dan menggalakkan industri meningkatkan rantaian pengeluaran dengan melabur dalam intensif teknologi.

“Ia juga meningkatkan produktiviti buruh dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing tidak mahir,” jelas KESUMA menerusi satu kenyataan.

Menurut KESUMA, definisi gaji minimum di bawah Seksyen 2, Akta 732 adalah gaji pokok dan ia tidak termasuk elaun, insentif atau apa-apa bayaran tambahan yang dibuat kepada pekerja.

Pelaksanaan gaji minimum baharu Kerajaan melalui KESUMA akan melaksanakan gaji minimum RM1,700 sebulan bermula 1 Februari 2025.

Menurut KESUMA, pelaksanaan ini akan melibatkan majikan yang mengambil lima pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan aktiviti profesional tanpa mengira bilangan pekerja yang digajikan olehnya.

Suatu aktiviti profesional adalah merujuk kepada pengkelasan Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO) 2020 sebagaimana yang diterbitkan secara rasmi oleh Kementerian Sumber Manusia.

Pada 1 Ogos 2025, pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan untuk semua majikan berikutan tempoh penangguhan PGM kepada majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja telah tamat.

Menurut KESUMA, aktiviti profesional merujuk kepada pengkelasan MASCO di bawah Kumpulan Utama 2: profesional, terdapat sembilan kumpulan sub utama, iaitu:

*Profesional sains dan kejuruteraan

*Profesional kesihatan

*Profesional perguruan

*Profesional perniagaan dan pentadbiran

*Profesional teknologi maklumat dan komunikasi

*Profesional perundangan

*Profesional perkhidmatan hospitaliti dan yang berkaitan

*Profesional sosial dan kebudayaan

*Profesional badan pengawal aturan

Kadar gaji minimum adalah RM1,700 sebulan bagi seluruh negara dan kadar bayaran mengikut hari dan jam adalah seperti di bawah:

No Image Caption



Menurut KESUMA, bagi pekerja yang tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang perlu dibayar kepada pekerja itu hendaklah tidak kurang daripada gaji minimum bulanan semasa iaitu RM1,700.

Sementara itu, KESUMA berkata, majikan tidak boleh membayar gaji pokok yang lebih rendah daripada gaji minimum sekiranya dipersetujui oleh pekerja.

“Majikan tidak boleh berbuat demikian kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 43, Akta 732. “Majikan wajib membayar kadar gaji minimum kepada pekerja walaupun mereka bersetuju untuk majikan membayar gaji pokok yang lebih rendah daripada gaji minimum,” jelas KESUMA.

Terpakai kepada semua pekerja

Dalam pada itu, KESUMA memaklumkan, PGM terpakai kepada semua pekerja termasuk pekerja bukan warganegara di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik dan kontrak perantisan.

“Kerajaan menetapkan bahawa PGM meliputi semua pekerja termasuk pekerja asing atau bukan warganegara berasaskan beberapa sebab.

“Antaranya ialah dasar gaji minimum hendaklah tidak mendiskriminasi seseorang pekerja atas alasan kewarganegaraan, selaras dengan Konvensyen ILO No.100: Equal Remuneration yang mana telah diratifikasikan oleh Malaysia pada tahun 1997.

“Ia bertentangan dengan Seksyen 69F Akta Kerja 1955 [Akta 265], Seksyen 118B Ordinan Buruh Sabah [Bab 67] atau Seksyen 119B Ordinan Buruh Sarawak [Bab 76] yang tidak membenarkan sebarang bentuk diskriminasi antara pekerja tempatan dan pekerja asing,” jelas KESUMA.

PGM terpakai kepada semua pekerja termasuk pekerja bukan warganegara di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik dan kontrak perantisan.- Gambar hiasan
PGM terpakai kepada semua pekerja termasuk pekerja bukan warganegara di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik dan kontrak perantisan.- Gambar hiasan



Selain itu, implikasi undang-undang apabila PGM 2024 diwartakan adalah PGM 2022 terbatal.

“Walau bagaimanapun, apa-apa prosiding undang-undang, pendakwaan atau siasatan yang dibuat di bawah PGM 2022 adalah diteruskan sehingga selesai.

“Semua kontrak perkhidmatan dan perjanjian kolektif hendaklah mengambil kira semua peruntukan dalam PGM 2024,” kata KESUMA.

Pelaksanaan PGM tidak bertentangan dengan amalan Productivity-Linked Wage System (PLWS).

KESUMA menegaskan gaji minimum tidak akan digantikan oleh Dasar Gaji Progresif kerana ia adalah pelengkap kepada gaji minimum dan dilaksanakan secara sukarela oleh majikan.

Dikenakan tindakan

Sementara itu, KESUMA berkata, PGM dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTK Sabah) dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK Sarawak).

Tindakan yang boleh dikenakan terhadap majikan yang gagal mematuhi PGM ialah Seksyen 43 Akta 732 memperuntukkan majikan yang gagal mematuhi PGM, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan tindakan seperti penalti bagi kesalahan pertama iaitu denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja.

Tindakan yang boleh dikenakan terhadap majikan yang gagal mematuhi PGM ialah Seksyen 43 Akta 732. - Gambar hiasan
Tindakan yang boleh dikenakan terhadap majikan yang gagal mematuhi PGM ialah Seksyen 43 Akta 732. - Gambar hiasan



“Penalti am pula ialah denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap kesalahan di mana penalti khusus tidak dinyatakan manakala penalti bagi kesalahan berterusan ialah denda tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

“Penalti bagi kesalahan berulang pula ialah denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun,” kata KESUMA.

KESUMA menjelaskan, majikan dan pekerja boleh mendapatkan bantuan dan nasihat mengenai dasar dan pelaksanaan gaji minimum mengikut isu tertentu.

“Untuk isu-isu dasar mereka boleh berhubung dengan Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara.

“Isu-isu pelaksanaan atau penguatkuasaan, majikan dan pekerja boleh menghubungi JTKSM dan JTK Sabah, JTK Sarawak dan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia,” kata KESUMA.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!