Cikgu sedih sikap ibu bapa tak hirau tahap pembelajaran anak
SHAH ALAM - Seorang guru menzahirkan kekecewaannya dengan sikap ibu bapa yang tidak menghiraukan tahap pembelajaran dan penguasaan anak mereka di sekolah.
Menerusi akaun TikTok guru berkenaan yang dikenali sebagai Nurul Syafwah, ada ibu bapa yang tidak menghiraukan nasihat guru-guru supaya anak dibawa berjumpa pakar.
“Minggu ini saya sangat sedih dan kecewa dengan ibu bapa seorang murid saya ini sebab dia memang berkeras, tidak bagi respons dengan cadangan kami, guru-guru untuk bawa anaknya berjumpa dengan doktor pakar bagi mendapatkan diagnosis.
“Cikgu-cikgu ini tidak suka-suka nak suruh anak awak dibawa jumpa doktor kalau melainkan kami merasakan anak itu memang kena jumpa doktor,” katanya.
Video luahan hati guru berkenaan sehingga kini telah mendapatkan 1.3 juta tontonan.
Beliau mengakui ibu bapa anak muridnya itu hanya membuat penafian serta meletakkan harapan bahawa anaknya itu masih boleh belajar dalam aliran perdana.
Jelas cikgu Nurul Syafwah, keengganan ibu bapa mengikut saranan guru sebenarnya hanya akan menganiaya anak mereka sendiri.
“Kesian dengan anaknya sebab dia memang dah lemas dalam aliran perdana ini, tahu tak.
“Jadi ibu bapa tolong semak buku tulis anak-anak, tengok kerja (sekolah) mereka, kalau dah dapat aduan daripada guru yang mengajar tolong jangan paksa anak terus belajar dalam aliran perdana," katanya.
Ujarnya, ibu bapa bertanggungjawab perlu bersama membantu dan memberi sokongan kepada anak itu supaya dia boleh mendapat pendidikan yang sepatutnya diterima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!