Perkataan ‘ketimbang’ dimasuk dalam Kamus Dewan Perdana
SHAH ALAM - Perkataan ‘ketimbang’ yang sering disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimasukkan dalam Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, perkataan tersebut merupakan kata sendi nama yang bermaksud menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu.
“Carian kata ini boleh dibuat melalui portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (prpm.dbp.gov.my) melalui kategori Kamus Dalam Talian,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Baru-baru ini, kecoh di Dewan Rakyat susulan isu bahasa yang digunakan oleh Menteri Kewangan itu dalam pembentangan Belanjawan 2025.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dalam persidangan Dewan Rakyat pada Isnin turut membangkitkan isu berkenaan dengan mendakwa bahawa istilah ‘ketimbang' itu tidak didapati dalam perbendaharaan kata DBP.
Sebaliknya Rosol berkata, menerusi carian dalam Internet, perkataan tersebut membawa maksud kencing, tipu dan sembang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!