Syor wujudkan SOP khusus untuk REE

Azam berucap pada Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) Peringkat Negeri pada Jumaat. Foto Bernama
Azam berucap pada Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) Peringkat Negeri pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri disyorkan untuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang spesifik untuk aktiviti melombong unsur nadir bumi (REE).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini pihaknya mendapati tiada SOP khusus untuk perlombongan REE.

"Apabila timbul mineral baharu, saya percaya kerajaan negeri perlu melihat kepada SOP.

"Daripada siasatan pihak kami, tiada SOP dalam mengeluarkan lesen perlombongan REE," katanya ketika ditemui pemberita selepas penganjuran Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakeoloa Agensi (APTA) di sini pada Jumaat.

Menurutnya, adalah amat penting untuk organisasi atau kerajaan negeri mengkaji dan menambah baik amalan, sistem serta prosedur sedia ada agar boleh menutup ruang-ruang kepada rasuah.

"Selain itu, penggunaan sistem dan teknologi juga boleh meningkatkan tatakelola organisasi," jelasnya.

Beliau berkata, SOP baharu itu perlu juga melibatkan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang jelas bagi mengekang aktiviti perlombongan tanpa kebenaran.

"Jika tidak, semua orang boleh melombong tanpa kebenaran. Jadi ia merupakan perbuatan mencuri, salah guna kuasa dan sebagainya," jelas Azam.

Artikel Berkaitan:

Julai tahun lalu, SPRM menahan reman seorang pegawai kanan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Sementara pada November tahun sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Muhamad Sobri Osman, 63, dan bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab, 50, didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah berkaitan REE.

Sehingga kini, Perak dan Kedah telah melaksanakan perlombongan REE manakala Terengganu sedang dalam proses kajian pelaksanaan.

Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya menerusi Bahagian Penyiasatan Tatakelola sedia membantu mana-mana organisasi dalam menambah baik amalan, sistem dan prosedur.

"Saya ingin menasihatkan ketua-ketua agensi bahawa penambahbaikan tatakelola yang disyorkan oleh SPRM hendaklah dipatuhi dan dilaksanakan oleh agensi yang terlibat," katanya.

Tambah beliau, syor-syor yang dilaksanakan sepenuhnya oleh agensi bukan sahaja mampu meminimumkan risiko rasuah dan penyelewengan dalam organisasi, malah berupaya mencegah ketirisan hasil kerajaan.

"Seterusnya, saya optimis bahawa hasil agensi juga pasti akan meningkat," kata Azam.

Sehingga suku tahun ketiga 2024, sebanyak 422 syor penambahbaikan hasil daripada penyiasatan tatakelola yang dilaksanakan SPRM telah diberikan kepada agensi.

Daripada jumlah tersebut, 229 syor penambahbaikan atau 54.3 peratus telah berjaya dilaksanakan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!