PDRM umum pertukaran 32 pegawai kanan
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Rahim Jaafar dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor antara 32 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam pertukaran jawatan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad, dalam satu kenyataan berkata, semua pertukaran itu berkuat kuasa 11 Februari ini.
Mendahului senarai adalah Abd Rahim yang bertukar jawatan sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman manakala Mazlan akan bertukar jawatan ke Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.
Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Datuk Ramli Hassan akan bertukar jawatan ke Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman manakala Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin akan mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Mazlan, Ketua Polis Selangor.
Turut bertukar, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk T Narenasagaran akan menjawat jawatan Ketua Polis Pulau Pinang.
Sementara itu,Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sun Teoh Tia akan menjawat jawatann Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.
Selain itu Ketua Inspektorat Penerbangan Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Mohd Rafique Ramli Ariffin akan menjawat jawatan Komander Pasukan Gerakan Udara Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.
Turut terlibat dalam pertukaran ialah Timbalan Pengarah II Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Nerita Yaacob yang akan bertukar sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Turut bertukar ialah Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Zulkifli Ali ke Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Kamaluddin Kassim akan bertukar jawatan ke Timbalan Ketua Polis Melaka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!