Krisis air: SPAN sedia bincang dengan Perlis
SHAH ALAM - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersedia mengadakan perbincangan dengan Perlis bagi mewujudkan loji air sebagai salah satu usaha mengurangkan jumlah kehilangan air bersih di negeri itu yang mencatatkan angka 124 juta liter sehari.
Pengerusi SPAN, Charles Santiago berkata, ia merupakan permulaan langkah komprehensif untuk mengatasi masalah kehilangan Kadar Air Tak Berhasil (NRW) itu.
“Saya cadangkan Syarikat Air Perlis (SAP) dan SPAN perlu mengadakan satu mesyuarat dan kita buat satu audit iaitu pemantauan dan semakan apa yang berlaku beberapa tahun lalu hingga perkara itu terjadi.
“Dari situ, kita bina loji yang bukan sahaja boleh diterima oleh Perlis tetapi projek itu sama-sama dibentuk oleh SAP sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan Sinar Harian semalam mengenai NRW Perlis mencatatkan kehilangan air bersih lebih 60 peratus setiap hari.
Bagaimanapun, Charles berkata, isu NRW tidak boleh diatasi dalam masa singkat kerana proses penggantian paip memakan masa lama, apatah lagi ia berkait dengan bajet, proses mengenal pasti kawasan terlibat dan pemilihan teknologi yang perlu diguna pakai.
“Sekarang kita ada teknologi moden seperti 'technology internet of thing'. Itu juga kita harus beri penekanan dalam cara pengurusan air di Perlis atau di mana-mana juga tempat di Malaysia.
“Negeri-negeri yang ada loji air seperti Selangor, Johor dan Melaka telah berjaya kurangkan NRW tetapi bukan dalam masa tiga empat, bulan sebaliknya ambil masa lebih kurang tiga tahun,” katanya.
Sehubungan itu, sebagai langkah segera mengatasi masalah NRW itu, Charles menasihatkan Perlis yang sedang mengalami cuaca panas sekarang agar melakukan penjimatan penggunaan air.
Menurutnya, penggunaan purata air bagi setiap seorang pengguna di negeri itu ketika ini adalah sebanyak 220 liter sehari.
“Saya juga cadangkan orang ramai jangan cuci kereta setiap hari, kalau boleh rutin itu diubah kepada dua tiga minggu sekali atau sebulan sekali.
“Masalah sekarang, kegiatan cuci kereta setiap hari sudah jadi satu budaya, jadi ia perlu dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata, untuk menjimatkan penggunaan air, kerajaan Perlis perlu melipatgandakan usaha seperti mengadakan kempen mengenainya dengan kerjasama persatuan penduduk, persatuan belia dan parti politik, selain menggunakan platform media seperti televisyen, radio dan media sosial untuk mendidik rakyat, bukan sahaja di Perlis tetapi di Kedah dan Pulau Pinang untuk berjimat-cermat dalam penggunaan air bersih.
ARTIKEL BERKAITAN: Perlis perlu RM3 bilion atasi masalah air tidak berhasil
Bekalan air di Perlis hanya bertahan empat bulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!