Ibu tunggal cari abang kandung jadi wali nikah
KEMAMAN – Seorang ibu tunggal yang bakal melangsungkan perkahwinan pada November depan menjejaki abang kandungnya untuk menjadi wali pernikahan.
Jameela Muhamad, 37, dari Kampung Kapor, Binjai, di sini merayu orang ramai untuk mencari abangnya, Mustapha Muhamad yang gagal ditemui selepas cuba menjejaki lelaki itu sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu abangnya itu pada 2017 di daerah ini selepas kematian bapanya, Muhamad Abdullah @ Kama Rajoo Nadarajan pada 2015.
"Ayah saya berasal dari Pulau Pinang dan pernah berkahwin dengan seorang wanita dari Tamil Nadu, India sebelum kembali ke Malaysia dan memeluk Islam
"Abang saya juga berasal dari Tamil Nadu dan pernah berkahwin serta menetap di Kemaman," katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Khamis.
Jelas Jameela, dia turut bertanya kepada rakan yang mengenali abangnya itu namun mereka tidak mempunyai maklumat berkenaan lelaki tersebut.
"Saya sudah mencari di merata tempat dan bertanya kepada rakan yang pernah mengenali abang saya tetapi masih gagal berjumpa.
"Saya harap sesiapa yang ada maklumat mengenai abang saya atau orang ramai yang mengenalinya boleh menghubungi saya di talian 010-9896105," ujar Jameela.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!