Buruh ditemui lemas di Sungai Golok
RANTAU PANJANG - Seorang buruh ditemukan lemas di Sungai Golok di Kampung Dangar di sini pada Khamis.
Mangsa, Mohd Bilal Othman, 39, ditemukan pada jam 3.01 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.21 tengah hari berhubung kejadian mangsa yang dikatakan terjatuh ke dalam sungai.
“Pihak bomba yang tiba di lokasi kejadian menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan tebing serta permukaan sungai.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Pengkalan Kubor yang tiba seterusnya melakukan selaman di kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat melibatkan keseluruhan 17 anggota dan pegawai dari BBP Rantau Panjang, PPDA Pengkalan Chepa dan Pengkalan Kubur.
Pihaknya juga menggunakan bot dalam operasi berkenaan sebelum mangsa dapat ditemukan.
“Mangsa ditemui pasukan bomba pada jarak kira-kira 50 meter dari kawasan dia disyaki jatuh.
“Mayat lelaki tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!