Sukan SEA: PKBM tekad pertahan pingat emas lebuh raya

IMBAS KEMBALI...Nur Amirull Fakhruddin menghadiahkan pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki pada Sukan SEA 2023 di di Phnom Penh, Mei tahun lalu. Foto: FB PKBM
IMBAS KEMBALI...Nur Amirull Fakhruddin menghadiahkan pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki pada Sukan SEA 2023 di di Phnom Penh, Mei tahun lalu. Foto: FB PKBM
A
A
A

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sedang memikir strategi terbaik memastikan skuad lebuhraya negara mengekalkan sentuhan emas menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh percaya pencapaian menang pingat emas menerusi acara tersebut yang dilakar oleh pelumba profesional Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirull Fakhruddin Mazuki di Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Mei tahun lalu perlu dipertahankan demi maruah sukan berbasikal negara.

Bagaimanapun Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menegaskan skuad kebangsaan yang dibimbing jurulatih tempatan, Yusuf Nasir berdepan tugas sukar sekiranya tidak menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Nur Amirull Fakhruddin
Nur Amirull Fakhruddin

“Secara peribadi, saya mahu skuad berbasikal negara menang di Sukan SEA 2025 di Thailand nanti. Bagaimanapun, ia bukan satu tugasan yang mudah kerana Thailand juga memiliki barisan pelumba terbaik,” katanya pada Jumaat.

Sebagai rekod, Malaysia bakal melakar sejarah unik menang pingat emas tiga kali berturut-turut menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki di temasya Sukan SEA sekiranya berjaya mempertahankan pencapaian dikecapi di Sukan SEA 2021 di Vietnam dan Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Pada temasya Sukan SEA 2023, Nur Amirull Fakhruddin meneruskan rentak cemerlang apabila merangkul pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki pada Sukan SEA 2023 di laluan di Angkor Wat, Siem Reap.

Pada temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi pula, skuad kebangsaan Malaysia yang dibimbing jurulatih legenda, Datuk Ng Joo Ngan menebus kehampaan di Sukan SEA 2019 di Filipina selepas Muhammad Nur Aiman Zariff menghadiahkan pingat emas menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki.

Artikel Berkaitan:

Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menegaskan PKBM akan melakukan apa sahaja demi mengekalkan pencapaian menang pingat emas di Sukan SEA 2025 di Thailand.

“Sekiranya formula di Hanoi dan Siam Riep iaitu memerah tenaga pasukan profesional khususnya TSG menepati kehendak di Thailand, saya akan bekerja keras untuk memastikan ia boleh direalitikan,” katanya.

Bagaimanapun, Amarjit yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) percaya bantuan kewangan khususnya daripada KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) boleh meneruskan kelangsungan rentak cemerlang skuad berbasikal lebuhraya Malaysia.

“Agenda utama saya selepas menjadi Presiden PKBM ialah menjalin hubungan baik dengan KBS dan MSN. Saya berharap YB Menteri (Hannah Yeoh) bersedia untuk membantu pasukan lebuhraya negara untuk beraksi cemerlang di Sukan SEA 2025 di Thailand nanti,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!