Semua lapangan terbang dalam radar SPRM

Azam berucap pada Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) Peringkat Negeri pada Jumaat. Foto Bernama
Azam berucap pada Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) Peringkat Negeri pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa memantau semua lapangan terbang susulan pembongkaran 'counter setting' oleh pihak penguat kuasa.

Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tumpuan diberikan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menjadi pintu utama kemasukan warga asing ke negara ini.

"Tempat-tempat lain seperti Johor ada juga kemasukan warga asing, tetapi yang besarnya di KLIA," katanya kepada pemberita selepas penganjuran Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, SPRM mendedahkan penguat kuasa yang menjadi tali barut kepada sindiket telah meraih keuntungan jutaan ringgit hasil daripada kemasukan warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan Nepal secara tidak sah.

Siasatan mendapati terdapat kemasukan wang berjumlah lebih RM4 juta dari tahun 2022 hingga 2024 dipercayai bagi urusan kemasukan warga asing yang turut diagih-agihkan kepada penguat kuasa terlibat.

Sindiket berkenaan dipercayai 'memancing' mangsa dengan mempromosikan pakej masuk ke Malaysia menerusi platform media sosial.

Sementara itu, mengulas mengenai kes 1BestariNet, Azam berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa lagi sebelum dapat mengumumkan hasil daripada siasatan yang dijalankan.

"Saya tangguhkan dahulu pengumuman apa yang patut, nanti tunggu sehingga pegawai saya selesai menjalankan siasatannya.

Artikel Berkaitan:

“Saya (juga) sentiasa memantau siasatan ini dari semasa ke semasa, jadi buat masa ini, tak payah tanya orang lain, tanya saya sahaja tentang perkembangan (kes) itu. Buat masa ini saya rasa belum lagi nak umumkan, bagi masa sikit,” katanya.

SPRM sebelum ini telah memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.

Difahamkan, siasatan itu bermula selepas penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL di ibu negara, pada 4 September lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!