Lelaki mengaku salah guna dokumen palsu untuk darjah kebesaran
MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat, atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai kelulusan bagi mendapatkan darjah kebesaran kerajaan negeri.
Tertuduh, Mohamad Nizam Abdul Ghani, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, dia didapati menggunakan dokumen palsu iaitu satu surat kelulusan bagi anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) atas nama tiga individu dengan niat untuk menipu, 21 September lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula fakta kes serta semakan hukuman selain mengarahkan tertuduh membayar jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.
Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam Kent Tan Chow Teng yang mewakili tertuduh merayu jaminan munasabah kerana tertuduh mempunyai tanggungan keluarga dan hanya bekerja sendiri dengan pendapatan tidak tetap.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula fakta kes dan semakan hukuman serta mengarahkan tertuduh membayar jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, dalam prosiding sama, rakan tertuduh, Shahrizan Sahauddin, 45, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memalsukan dokumen yang sama atas nama tiga individu di tempat dan tarikh yang sama.
Dia didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan boleh di penjara maksimum dua tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.
Hanis Aliah mencadangkan jaminan RM10,000 ke atas tertuduh namun peguam Helmi Hasan yang mewakili tertuduh, merayu jaminan rendah kerana anak guamnya yang bekerja di sebuah syarikat kargo perlu menyara ibu bapa yang uzur.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan kes semula bagi serahan dokumen pada 12 Disember depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!