AS ikrar sokong Kepengerusian ASEAN Malaysia

Malaysia akan secara rasmi memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN mulai 1 Januari 2025. Foto Bernama
Malaysia akan secara rasmi memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN mulai 1 Januari 2025. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amerika Syarikat (AS) menegaskan semula sokongannya yang tidak berbelah bahagi terhadap Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, dengan berikrar untuk menyokong Malaysia dalam usahanya mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau.

Dalam kenyataan bersama semasa Dialog Pegawai Kanan Malaysia-AS ke-6 yang diadakan di Putrajaya pada 21 Oktober, AS mengulangi sokongannya terhadap pemusatan ASEAN dan Tinjauan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) serta mengalu-alukan usaha ASEAN menangani situasi di Myanmar.

"Amerika Syarikat menyatakan sokongannya kepada Kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2025 dalam usaha untuk mempromosikan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di seluruh rantau ini," menurut kenyataan itu.

Malaysia akan secara rasmi memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN mulai 1 Januari 2025.

Dialog Pegawai Kanan Malaysia-AS ke-6 ini juga menandakan ulang tahun ke-10 Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS.

Dialog itu menegaskan semula kerjasama yang semakin mendalam antara kedua-dua negara. Ia turut menekankan kepentingan kerjasama yang berterusan dalam pelbagai isu, termasuk perdagangan dan pelaburan, keamanan dan keselamatan, hubungan antara rakyat, serta isu serantau dan global.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin mengetuai delegasi Malaysia, manakala Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Daniel, J Kritenbrink mengetuai delegasi AS.

Kenyataan bersama itu menyatakan bahawa Malaysia dan AS mengakui hubungan erat yang terjalin, khususnya dalam kerjasama ekonomi, serta mengiktiraf kepentingan memajukan kerjasama sambil menekankan kemampanan.

Artikel Berkaitan:

AS mengalu-alukan usaha Malaysia melaksanakan sistem pensijilan mampan bagi kayu dan minyak sawit, dan kedua-dua pihak komited untuk meneroka kerjasama lebih lanjut dalam inisiatif kemampanan.

Malaysia dan AS juga berikrar untuk meneroka kemungkinan kerjasama bagi meningkatkan kemampanan. Kedua-dua pihak meneruskan aktiviti kerjasama yang tercermin dalam Memorandum Kerjasama (MOC) mengenai Daya Tahan Rantaian Bekalan Semikonduktor yang ditandatangani pada 2022.

"Malaysia dan AS turut mengakui minat untuk meneroka kerjasama lanjut dalam bidang sains dan teknologi dengan mengiktiraf sinergi yang berpotensi dalam bidang angkasa lepas, bioteknologi, pertanian, pembangunan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana), pembangunan kapasiti, kerjasama penjagaan kesihatan, serta kerjasama penyelidikan vaksin," menurut kenyataan itu.

Selain itu, dialog berkenaan turut menumpukan kepada industri yang berkembang pesat seperti semikonduktor, ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, dan mineral kritikal.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkukuh usaha meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, mempercepatkan peralihan tenaga bersih, dan menggalakkan perkongsian sektor swasta yang bertujuan merangsang inovasi serta penciptaan pekerjaan, sambil menegaskan komitmen mereka terhadap Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) dan pembangunan kapasiti PKS.

Mengenai keamanan dan keselamatan, Malaysia dan AS menegaskan semula komitmen mereka terhadap keamanan dan keselamatan di Indo-Pasifik, dengan memberi keutamaan kepada usaha membanteras jenayah rentas negara, pemerdagangan orang, keganasan, dan menegakkan Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS).

Kedua-dua pihak menekankan bahawa kestabilan di Laut China Selatan adalah penting untuk keselamatan serantau, dan Malaysia menyatakan penghargaan atas pengiktirafan AS terhadap usaha antiperdagangan manusia yang membawa kepada peningkatan Malaysia ke Tahap 2 dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2024.

Malaysia turut mengakui kerjasama yang diberikan oleh AS dalam memperkukuh keselamatan maritim Malaysia dan mengalu-alukan penghantaran kapal US Coast Guard Cutter STEADFAST di bawah program Excess Defence Articles (EDA) programme.

Kapal itu dijangka diserahkan pada suku pertama 2025 kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dan berdasarkan kerjasama pertahanan, kedua-dua pihak mengalu-alukan usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan pertahanan di bawah perjanjian sedia ada serta melalui pembangunan bidang kerjasama baharu.

Kedua-dua pihak juga menekankan kerjasama berterusan dalam menghadapi cabaran serantau dan global, serta menggesa rundingan pelbagai hala yang aktif, khususnya melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mereka turut menggesa penyelesaian diplomatik untuk konflik di Gaza, memberi keutamaan kepada gencatan senjata, pembebasan tebusan, dan akses kemanusiaan, sambil menekankan keperluan untuk keamanan yang mampan.

Malaysia dan AS turut komited untuk memperkukuh hubungan antara rakyat melalui pengembangan pertukaran pendidikan dan budaya, seperti Program Fulbright di bawah Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika Syarikat (MACEE) dan Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI).

Program ini bertujuan untuk memperkasakan pemimpin masa depan sambil memupuk persefahaman dan muhibah antara rakyat Malaysia dan AS. Peluang untuk meningkatkan kerjasama akademik, pertukaran dan pelancongan bagi memperkayakan lagi hubungan dua hala turut dibincangkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!