Perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan tiada permit polis - KP Perak

Azizi
Azizi
A
A
A

IPOH - Polis mengesahkan perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mempamerkan bendera negara asing yang turut tular di media sosial, diadakan tanpa permit.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, perarakan yang berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari jam 8 malam hingga 11.30 malam semalam, dan disertai kira-kira 400 penonton.

"Polis telah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan mereka juga akan diminta untuk mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Jumaat.

Tular di media sosial video sekumpulan peserta mengibarkan bendera China pada sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan pada Khamis.
Tular di media sosial video sekumpulan peserta mengibarkan bendera China pada sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan pada Khamis.

Azizi berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan pada 12.39 tengah malam tadi.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perarakan tanpa permit polis dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

Beliau juga menasihati mereka yang ingin menganjurkan perhimpunan agar menghantar permohonan kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan.

Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan perhimpunan haram yang boleh menimbulkan kacau ganggu dan menggugat ketenteraman awam, dengan mereka yang melakukan kesalahan itu boleh didenda hingga RM10,000 mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh sekumpulan individu pada malam perarakan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan semalam.

Pengerusi persatuan itu Soon Boon Hua berkata, tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!