Bayi usia sebulan perlukan dana RM60,000 bedah jantung

Nur Auliya Adra Farisya
Nur Auliya Adra Farisya
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Bayi perempuan berusia sebulan, Nur Auliya Adra Farisya Fahmi memerlukan dana RM60,000 bagi menjalani pembedahan dengan segera akibat masalah kecacatan jantung kongenital.

Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, bayi dari Pendang, Kedah itu hanya sempat pulang ke rumah selama 10 hari selepas lahir sebelum ditahan semula di hospital hingga kini selepas menjadi lesu dan enggan meminum susu.

Menurutnya, ujian awal doktor selepas bayi berkenaan diintubasi mendapati berlaku penurunan oksigen dalam darah secara tiba-tiba dan disyaki mengalami jangkitan kuman di paru-paru.

"Namun pemeriksaan terperinci kemudiannya mengesahkan bayi itu mengalami kecacatan jantung dan sedang dirawat di unit rawatan rapi kerana perlu bergantung kepada bantuan oksigen.

"Doktor mengesahkan dia mengalami masalah ‘severe coarctation of the aorta’ (CoA), ‘isthmus’ dan ‘distal arch hypoplasia’ yang mengakibatkan aliran darah tersumbat dan tekanan darah tidak normal.

"Justeru, bayi itu perlu menjalani pembedahan secepat mungkin untuk mengelakkan kegagalan jantung atau jangkitan kuman yang akan mengancam nyawanya,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Sui Hau berkata, disebabkan kerana tidak mampu menampung kos pemebedahan itu, keluarga Nur Auliya Adra Farisya tampil ke pejabat badan amal tersebut di sini bagi mendapatkan dana daripada sumbangan orang ramai yang prihatin.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu mengumpul dana RM60,000 bagi merealisasikan pembedahan itu yang dijadualkan hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Bapanya, Fahmi Ahmad Zainol Abidin, 38, bertugas sebagai penjawat awam, manakala ibu bayi, Siti Aishah Hashim, 35, seorang suri rumah.

“Pasangan itu juga mempunyai dua lagi anak perempuan berusia enam dan sembilan tahun,” katanya lagi.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare bernombor 3193433435 atau layari www.onehopecharity.org.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!