Tangani segera isu kesesakan lalu lintas di Pasir Gudang - Hassan

Ahli Parlimen Pasir Gudang menerima banyak aduan berhubung kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan berkenaan sejak minggu lalu sehingga kini. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Hassan Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang menerima banyak aduan berhubung kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan berkenaan sejak minggu lalu sehingga kini. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Hassan Karim
A
A
A

PASIR GUDANG - Masalah kesesakan lalu lintas di Pasir Gudang yang berpunca daripada kerja-kerja membaiki jalan raya kebanyakannya dilakukan serentak, perlu ditangani segera demi keselesaan pengguna jalan raya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan berkenaan sejak minggu lalu sehingga kini.

“Contohnya di Jalan Pantai dari Johor Bahru ke Permas Jaya pada minggu lepas mengalami kesesakan dahsyat dan ada aduan menyatakan pengguna jalan raya tersebut mengambil masa antara dua hingga tiga jam untuk sampai ke Taman Rinting; contoh yang lain ialah jalan berhadapan Jalan Permas 12 ditutup.

“Selain itu ada juga aduan diterima bahawa Lebuhraya EDL (Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur) ke Pasir Gudang iaitu selepas Jambatan Permas Jaya di dapati sebahagian jalan raya yang dikorek dibiarkan tanpa ditutup dan diturap; ini amat membahayakan pengguna jalan raya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya juga ada menerima aduan pengguna jalan raya yang terpaksa berpusing ke Lebuhraya Pasir Gudang berikutan laluan dari Bakar Batu menuju ke Pasir Gudang ditutup.

Malah katanya, orang ramai juga turut menyatakan tidak ada pemberitahuan yang jelas daripada mana-mana pihak sama ada kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan atau pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memaklumkan tentang kerja-kerja di laluan tersebut.

"Oleh itu, bagi mengatasi masalah kesesakan di laluan terbabit sama ada sekarang ataupun masa-masa akan datang saya sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang mencadangkan tindakan-tindakan berikut.

"Pihak berkuasa seperti JKR, MBJB, pihak polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam perlu turun padang ke kawasan-kawasan terlibat bagi memantau kerja-kerja yang dilakukan pihak konsesi kontraktor.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu Pegawai Daerah Johor Bahru selaku Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Johor Bahru perlu membincangkan isu kesesakan jalan raya di Pasir Gudang dalam mesyuarat bulanan akan datang dengan meminta JKR dan MBJB memberi laporan usaha penyelesaian berhubung masalah terbabit di Pasir Gudang," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!