[VIDEO] 'Anak menangis merayu minta diselamatkan bayar tebusan RM130,000'
KOTA KINABALU - Seorang bapa tidak dapat menahan sebak apabila mendengar tangisan dan rayuan anaknya yang minta diselamatkan daripada menjadi mangsa penipuan dan kini dipercayai diculik oleh sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Abdul Rahman Hamid, 60, berkata, sindiket meminta wang tebusan sebanyak RM130,000 jika mahu anaknya, Mohd Addie Azrinn, 29, dilepaskan.
Menurut Abdul Rahman, perkara itu berlaku selepas anak ketiganya itu terpedaya melakukan pekerjaan di Thailand setelah menerima tawaran daripada seorang rakan yang meminta untuk menggantikan tempatnya.
"Kejadian itu berlaku pada 17 Oktober lalu apabila anak saya dari Kota Kinabalu telah ke Pulau Pinang dan meneruskan perjalanan ke Bangkok untuk bertemu dengan rakan kerjasamanya iaitu seorang wanita warga China yang melakukan urusan jual beli emas.
"Mereka kemudian dijemput pemandu serta dibawa menuju ke Chiang Mai dan sepanjang perjalanan mereka telah menukar kenderaan lain untuk dibawa ke sempadan negara tersebut.
"Ketika itu kami tidak tahu dia ditahan, namun selepas cuba dihubungi beberapa kali, kami tidak menerima respons dan bimbang dengan keselamatannya lalu membuat laporan polis," katanya dalam sidang media di Pejabat Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini pada Jumaat.
Abdul Rahman berkata, anaknya itu kemudian ada menghubungi anak sulungnya dan memaklumkan dia dan rakan wanita yang bersama dengannya telah ditipu.
"Mereka dikatakan berada di Myanmar namun dalam keadaan baik ketika itu. Ahli sindiket tersebut memaklumkan bahawa anak saya ditahan dan sukar diberi pekerjaan kerana tidak boleh bercakap bahasa Cina atau Inggeris.
"Jadi untuk menyelamatkan anak saya, kami perlu membayar tebusan berjumlah AS$30,000 (RM130,000) dan kaedah pembayaran mesti dilakukan menggunakan wang kripto supaya dia dilepaskan," katanya.
Abdul Rahman berkata, selepas beberapa hari kemudian, mereka menerima lagi panggilan daripada anaknya yang merayu supaya menyelamatkannya.
"Anak saya dalam keadaan susah hati, menangis dan terus menangis serta merayu supaya saya mencari wang membayar tebusan.
"Khamis lalu, saya menerima lagi panggilan dan dia merayu supaya membayar tebusan, namun sebenarnya saya memang tidak mampu," katanya yang juga seorang pesara.
Ditanya bagaimana anaknya terpedaya dengan tawaran kerja tersebut, Abdul Rahman berkata, ia bermula apabila seorang rakan sekolah anaknya mencari pengganti untuk melakukan pekerjaan tersebut.
"Kebetulan anak saya ini tidak mempunyai kerja tetap dan dia ditawarkan kerja tersebut dengan bayaran termasuk perbelanjaan penerbangan pergi pada 17 Oktober dan sepatutnya balik pada 23 Oktober.
"Mungkin sebab dia teruja kerana bekerja di luar negara lalu menerima tawaran tersebut selain yakin dan percaya dengan rakan yang dikenalinya sejak sekolah," katanya.
Sehubungan itu, Abdul Rahman berharap, ada pihak tertentu dapat membantu membawa anaknya keluar dari tempat tersebut dan seterusnya kembali ke pangkuan keluarga.
"Saya juga berharap pihak MHO dapat membantu saya. Saya tiada akses untuk bertemu dengan pihak kerajaan termasuk menteri yang terlibat. Harapan saya satu saja, agar anak saya dapat balik ke pangkuan saya," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MHO Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh berkata, ketika ini mangsa berada di fasa tahanan di mana skrip telah disediakan untuk berhubung dengan keluarga bagi mendapatkan wang tebusan.
"Sindiket ini akan bermain psikologi dengan ahli keluarga untuk mendapatkan bayaran, tetapi selepas bayaran dibuat mereka tidak akan melepaskan mangsa.
"Dalam kes yang MHO terima ada kira-kira 2,000 kes dan yang berjaya diselamatkan dianggarkan 300 mangsa. Kami tidak menggalakkan ahli keluarga membayarnya (wang tebusan) kerana ini adalah modus operandi mereka untuk bermain psikologi bagi mendapatkan wang.
"Sekiranya tiada bayaran dibuat, mangsa akan dipaksa bekerja dan apabila dilepaskan bekerja barulah kita boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana untuk menyelamatkan mangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!