[VIDEO] 'Setiap malam tak dapat lelap mata takut rumah ini roboh'

A
A
A

MELAKA - Sebuah keluarga di Kampung Tengah, Bukit Rambai di sini bukan sahaja terpaksa menadah besen setiap kali hujan, malah hidup dalam kegusaran disebabkan bumbung rumah mereka hanya menunggu masa untuk runtuh.

Pesara tentera, Mazelan Harun, 67, berkata, hampir keseluruhan struktur bumbung rumahnya telah rosak dan keadaan bertambah buruk disebabkan hujan dan angin kuat sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun katanya, disebabkan tiada pilihan, lebih-lebih lagi berdepan masalah kewangan, dia bersama 10 ahli keluarganya termasuk dua cucu berusia tiga dan tujuh tahun hanya bertawakal mendiami rumah uzur itu daripada panas dan hujan.

Katanya, dengan wang pencen sekitar RM1,300 sebulan tidak cukup untuk membaik pulih bumbung rumah yang kayunya telah dimamah anai-anai, bukan sahaja di bahagian ruang tamu malah bilik tidur dan dapur.

Keadaan bilik tidur yang tidak dapat digunakan kerana kerosakan bumbung yang teruk.
Keadaan bilik tidur yang tidak dapat digunakan kerana kerosakan bumbung yang teruk.

"Hanya rumah pusaka ini yang ada untuk kami sekeluarga berteduh.

"Walaupun tahu bila-bila masa bumbung rumah ini akan runtuh, tapi apa yang boleh kami lakukan selain bersabar kerana nak baiki bumbung memerlukan kos besar sedangkan saya tidak berkemampuan," katanya ketika dikunjungi Sukarelawan Melaka pada Jumaat.

Tambahnya, sebelum ini dia pernah bertanya kepada tukang rumah masalah bumbung rumahnya ini dan mereka memaklumkan bumbung ini perlu ditukar secara keseluruhan kerana kayu-kayunya telah rosak akibat dipukul ribut serta dimamah anai-anai.

Artikel Berkaitan:

Mazelan menunjukkan keadaan bumbung rumahnya di Kampung Tengah, Bukit Rambai yang hanya menunggu masa untuk runtuh.
Mazelan menunjukkan keadaan bumbung rumahnya di Kampung Tengah, Bukit Rambai yang hanya menunggu masa untuk runtuh.

"Setiap malam memang tak dapat nak melelapkan mata kerana takut rumah ini roboh, namun kami sekeluarga sentiasa berdoa agar dilindungi dan diberikan keselamatan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan itu, Ashwad Abd Rahim berkata, kehadirannya bukan sekadar menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur, namun turut membuat penilaian bantuan segera yang dapat diberikan kepada keluarga Mazelan.

Ashwad
Ashwad

Menurutnya, program itu turut disertai Malaysia Relief Agency sekali gus dapat berbincang mengenai bantuan yang sesuai untuk disalurkan kepada keluarga kurang bernasib baik itu.

"Insya-ALLAH kami akan cuba bantu secepat mungkin kerana rumah ini sebenarnya tidak lagi selamat untuk diduduki. Lebih menyedihkan ada kanak-kanak dan warga emas tinggal di dalamnya dalam keadaan yang cukup hiba," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0414041000054946 atas nama Mazelan Harun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!