Anak polis bantuan antara penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMPSA

Fatini Nasuha (barisan hadapan: lima dari kiri) antara graduan cemerlang UMPSA yang bakal menerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen ke-19 bermula Sabtu ini.
Fatini Nasuha (barisan hadapan: lima dari kiri) antara graduan cemerlang UMPSA yang bakal menerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen ke-19 bermula Sabtu ini.
A
A
A

KUANTAN - Anak polis bantuan antara dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdulah (UMPSA) Ke-19.

Fatini Nasuha Ahmad Puad, 23, dari Shah Alam, Selangor yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) secara 'fast track' di universiti amat bersyukur atas anugerah tersebut.

Fatini Nasuha Ahmad Puad
Fatini Nasuha Ahmad Puad

Penerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) itu berkata, anugerah itu rezeki yang diberikan ALLAH SWT berkat sokongan keluarga, pensyarah dan rakan-rakan yang banyak membantu sepanjang empat tahun pengajiannya di UMPSA.

"Sejujurnya kejayaan yang dicapai hari bukan mudah kerana banyak ranjau dan cabaran terpaksa dilalui.

"Cabaran paling terbesar pada tahun pertama sewaktu pandemik Covid-19 kerana ketika itu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dijalankan secara dalam talian.

"Agak susah untuk adaptasi kaedah pembelajaran itu namun Allhamdulillah, saya dan rakan-rakan berjaya melalui cabarannya sebelum kembali ke kampus mengikuti pengajian secara bersemuka," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pada Jumaat bagi memperkenalkan pelajar cemerlang UMPSA yang bakal menerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Kali ke-19 bermula Sabtu ini.

Artikel Berkaitan:

Anak bongsu pasangan Ahmad Puad Mohd Isa, 60, dan Mulyani Munir, 58 itu bakal menerima anugerah disampaikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah merangkap Pro-Canselor UMPSA pada majlis konvokesyen sesi pertama.

Fatini Nasuha berkata, selepas kembali mengikuti pengajian di kampus, dia mula aktif dalam aktiviti kesukarelawan dan program-program bersama komuniti.

"Perjalanan pengajian saya menjadi lebih manis dan bermakna.

"Saya bukan sahaja fokus kepada akademik tetapi juga kepada pembinaan dan memperkasa sahsiah untuk mempersiapkan diri untuk masa depan," ujarnya.

Katanya lagi, dilahirkan dalam keluarga bukan senang antara dorongan yang telah memotivasikan dirinya untuk terus berjuang demi impian untuk bergelar pensyarah suatu hari nanti.

Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainudin berkata, seramai 5,115 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen UMPSA kali ini.

Dr Yuserrie beramah mesra bersama sebahagian graduan cemerlang UMPSA yang bakal menerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Kali ke-19 bermula Sabtu ini.
Dr Yuserrie beramah mesra bersama sebahagian graduan cemerlang UMPSA yang bakal menerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen UMPSA Kali ke-19 bermula Sabtu ini.

Menurutnya, graduan terlibat terdiri 83 graduan PhD, sarjana (180), sarjana muda (2,538), ijazah dual (64), diploma (533) dan graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMP Advanced (1,717).

"Seramai 100 daripadanya graduan antarabangsa dari 18 buah negara.

"Sempena majlis ini, Tuanku Pro-Canselor turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim iaitu Naib Canselor UMPSA ketiga (2008-2019).

"Penganugerahan tertinggi akademik itu atas pelbagai sumbangan yang telah dicurahkan kepada universiti dan Pendidikan tinggi negara," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!