ADUN, Kor Ming nafi hadir program kibar bendera China

Tangkap layar kenyataan Kah Leong di Facebooknya pada Jumaat
Tangkap layar kenyataan Kah Leong di Facebooknya pada Jumaat
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong menafikan beliau bersama Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming pernah menghadiri apa-apa program yang mengibarkan bendera negara China di Teluk Intan.

Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak itu berkata, kenyataan berbaur fitnah dikeluarkan Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria adalah tidak tepat.

"Saya ingin menyangkal sekerasnya-kerasnya kenyataan Razman bahawa tindakan kibar bendera China tidak pernah berlaku sewaktu berlangsungnya Pesta Tanglung anjuran wakil rakyat setempat yang diadakan pada 13 September lalu.

"Beliau juga menyebarkan fitnah bahawa program yang melibatkan insiden kibar bendera China adalah dihadiri Kor Ming dan saya sendiri sedangkan tidak pernah berlaku sedemikian," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, pihaknya menuntut agar Razman menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka atas penyebaran maklumat yang salah berkaitan perkara tersebut.

"Ketua Pembangkang yang profesional seharusnya menyemak fakta sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi.

"Beliau patut mengambil iktibar daripada kes-kes disaman fitnah sebelum ini yang natijahnya diri sendiri perlu membayar bayaran ganti rugi dengan berjumlah besar," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Pas Perak menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan dalam satu sambutan berhampiran Menara Condong Teluk Intan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, perkara itu menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 iaitu tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

Justeru, beliau menyifatkan tindakan terbabit boleh dianggap sebagai satu tindakan provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!