Khutbah Jumaat di Selangor ingatkan umat Islam jauhi fahaman Ateis

Khutbah Jumaat di Selangor mengingatkan umat Islam supaya menjauhi fahaman Ateis yang menafikan kewujudan ALLAH sebagai pencipta alam dan makhluk di muka bumi.
Khutbah Jumaat di Selangor mengingatkan umat Islam supaya menjauhi fahaman Ateis yang menafikan kewujudan ALLAH sebagai pencipta alam dan makhluk di muka bumi.
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam diingatkan menjauhi fahaman Ateis yang menafikan kewujudan ALLAH sebagai pencipta alam dan makhluk di muka bumi.

Perkara itu diingatkan dalam Khutbah Jumaat bertajuk 'Bahaya ancaman Ateis' di masjid seluruh Selangor.

Menurut teks khutbah itu, fahaman itu bertitik tolak daripada kegagalan mereka mengenali ALLAH dan mungkin mendapat sedikit pendedahan tentang agama.

Teks khutbah Jumaat bertajuk 'Bahaya ancaman Ateis' di masjid seluruh Selangor.
Teks khutbah Jumaat bertajuk 'Bahaya ancaman Ateis' di masjid seluruh Selangor.

"Namun kerana tidak menambah ilmu, mereka hanya mengkaji sendiri lalu membuat kesimpulan mudah bahawa ALLAH, alam ghaib dan akhirat tidak pernah wujud," kata teks khutbah berkenaan.

Khutbah itu menjelaskan, fahaman Ateis berbahaya kerana mereka percaya tiada pencipta alam dan ia wujud tanpa pencipta.

Khutbah itu memberitahu, fahaman itu juga tidak perlu terikat kepada Tuhan atau agama, tidak memperakui keesaan ALLAH dan kerasulan Nabi Muhammad SAW serta tidak mempercayai hari akhirat.

Menurut khutbah itu, fahaman Ateis telah lama berkembang dan cuba ditangani oleh ulama silam melalui pengajaran, penulisan kitab dan debat secara terbuka, namun ia terus berkembang sehingga hari ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, terdapat tiga faktor utama kemunculan fahaman Ateis iaitu antaranya mereka meletakkan Tuhan mengikut logik akal semata-mata.

"Faktor kedua adalah masalah dalam memahami adanya kejahatan sehingga membawa beberapa persoalan antaranya benarkah Tuhan itu wujud dan diikuti dengan mempersoalkan keadilan Tuhan.

"Faktor ketiga pula adalah pertelagahan antara orang-orang munafik, jahil dan lain-lain yang menganggap diri sebagai ulama," menurut teks khutbah.

Khutbah itu turut memaklumkan, wujudnya pandangan orang-orang awam yang sering memberi pendapat tentang agama sehingga dianggap juga sebagai ulama.

"Maka lahirlah kekeliruan besar tentang agama yang benar, selain menimbulkan pandangan serong, ia mengukuhkan dakwaan golongan Ateis bahawa kebenaran agama bukanlah sesuatu mutlak, lalu mereka menolak untuk berpegang kepada agama secara menyeluruh," jelas khutbah itu lagi.

Khutbah itu memberitahu, golongan itu turut menggunakan media sosial secara tertutup dalam berkongsi pandangan dan menyebarkan idea.

Justeru, khutbah itu turut berpesan supaya semua pihak wajib memainkan peranan dalam mempertahankan akidah umat dan menyelamatkan manusia daripada terpengaruh dengan fahaman sesat yang merugikan.

"Umat Islam hendaklah mempelajari agama Islam dengan sempurna dan tidak berhenti menuntut ilmu, sama ada pengajian di surau dan masjid, mahu pun secara formal.

"Selain itu, mereka juga perlu cakna dengan perkembangan pemikiran menyeleweng terutama dalam media atas talian.

"Sebarang kekeliruan terhadap akidah dan agama Islam perlu diminta penjelasan atau dipanjangkan kepada pihak berautoriti," ujar teks khutbah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!