Wanita dihukum penjara lima tahun lacur gadis 19 tahun

Seorang wanita gagal dalam rayuannya selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara atas satu kesalahan melacurkan seorang wanita hamil tiga bulan, berusia 19 tahun dalam kejadian pada 2018 lalu.
Seorang wanita gagal dalam rayuannya selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara atas satu kesalahan melacurkan seorang wanita hamil tiga bulan, berusia 19 tahun dalam kejadian pada 2018 lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA – Seorang wanita gagal dalam rayuannya selepas Mahkamah Rayuan di sini pada Januari lalu mengekalkan hukuman penjara atas satu kesalahan melacurkan seorang wanita hamil tiga bulan, berusia 19 tahun dalam kejadian pada 2018 lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail secara sebulat suara memutuskan tiada sebarang merit dalam rayuan Yap See Yah selaku perayu, untuk mengganggu dapatan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 29 September 2022.

Bagaimanapun, beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan rayuan hukuman, daripada penjara 10 tahun kepada lima tahun.

Menerusi keputusan penghakiman yang diperoleh media pada Isnin, Azmi berkata, mahkamah mendapati hukuman pemenjaraan selama 10 tahun adalah terlalu tinggi.

“Perlu diperjelaskan bahawa pengurangan hukuman ini bukan bermaksud mahkamah memandang ringan kesalahan dilakukan oleh perayu.

“Tidak dinafikan bahawa kesalahan yang dilakukan serius kerana mangsa telah ditipu, dimanipulasi sepenuhnya selain berada bawah pengawasan ketat malah dipaksa melacurkan diri,” katanya.

Azmi berkata, pengurangan tempoh hukuman itu diberikan selepas membuat pertimbangan teliti dari pelbagai sudut termasuklah peranan sandaran perayu sebagai pembantu pelaku utama, iaitu suaminya sendiri (tertuduh kedua).

Mengikut pertuduhan pindaan, See Yah dan dan tertuduh kedua, Yew Khar Eik didakwa atas tuduhan mencapai niat bersama, memperdagangkan seorang gadis berumur 19 tahun sembilan bulan bagi maksud eksploitasi seks.

Artikel Berkaitan:

Ia didakwa dilakukan dengan ancaman kekerasan dan paksaan, di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, pada jam 5 pagi, 18 Mei 2018 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, dibaca bersama-sama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu membawa hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 30 Oktober 2019, Hakim Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan pasangan suami isteri itu, apabila mendapati pembelaan mereka bukan bersifat penafian semata-mata, pemikiran terkemudian dan konsisten antara satu sama lain.

Bagaimanapun, pada 29 September 2022, Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dengan mengenepikan perintah pembebasan tersebut dan menjatuhi See Yah hukuman penjara 10 tahun.

Khar Eik bernasib baik apabila kekal dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

Tidak berpuashati dengan keputusan tersebut, pada 11 Oktober 2022, See Yah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman terbabit.

Berdasarkan naratif kes pendakwaan, mangsa dilaporkan berlepas dari Pulau Pinang ke ibu negara dengan menaiki bas untuk bekerja sebagai pelayan.

Mangsa, seorang gadis warga tempatan, telah berkahwin dengan lelaki dari China, namun terpaksa mencari pekerjaan kerana berjauhan dengan suami selain mengalami masalah kewangan.

Setibanya di stesen bas Terminal Bersatu Selatan (TBS) Kuala Lumpur, mangsa dijemput oleh tertuduh kedua dan dibawa ke sebuah rumah untuk berbincang mengenai pekerjaan dan pendapatan.

Mangsa mengakui bahawa pekerjaan yang ditawarkan itu merupakan maksiat namun mangsa tidak diberitahu skop perkerjaannya itu.

Gadis itu membuat keputusan untuk cuba bekerja selama beberapa hari.

Pada hari kedua bekerja, mangsa memberitahu kepada perayu dan tertuduh kedua bahawa dia mengandung dan tidak mahu lagi meneruskan pekerjaannya itu.

Malangnya, mangsa memberitahu dua pasangan suami isteri berkenaan bertindak mengunci pintu rumah tersebut.

Dia kemudiannya diselamatkan anggota polis, selepas berjaya menghubungi nombor talian 999 melalui telefon bimbitnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!