Perarakan kibar bendera China langgar syarat perhimpunan aman - Polis

Azizi
Azizi
A
A
A

IPOH - Polis Perak telah memanggil penganjur untuk dirakam keterangan berhubung video perarakan mengibar bendera negara China dalam sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan pada malam Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, perarakan berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu didapati telah melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Menurutnya, program tersebut berlangsung dari jam 8 malam hingga 11.30 malam telah disertai kira-kira 400 penonton.

"Aduan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan pada jam 12.39 tengah malam tadi.

"Polis telah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan mereka juga akan diminta untuk mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Jumaat.

Azizi berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana melanggar syarat permit dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

Beliau juga menasihati mereka yang ingin menganjurkan perhimpunan agar menghantar notis kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan.

Media melaporkan pihak penganjur telah tampil memohon maaf susulan video tular perarakan sambil mengibar bendera China dalam sambutan Guan Gong Sedunia itu.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua berkata, perbuatan itu dilakukan oleh peserta rombongan dari China yang menyertai perarakan sambutan berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!