Isu kenaikan gaji minimum, sumbangan KWSP dibangkitkan - Fahmi

Fahmi - Foto: Bernama
Fahmi - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kebimbangan berhubung cadangan kenaikan gaji minimum RM1,700 dan peningkatan sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

"Sudah pasti beliau akan mengambil kira semua dan kita tunggu sebarang keputusan sewaktu penggulungan nanti oleh pihak Kementerian Kewangan,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan kenaikan gaji minimum serta peningkatan sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Langkah itu, mungkin memberikan tekanan kewangan yang tidak mampu ditanggung oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya pada saat perniagaan kecil masih dalam proses pemulihan selepas pandemik Covid-19.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 yang lalu, kerajaan telah bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa 1 Februari 2025.

Anwar turut mengumumkan cadangan kerajaan untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum KWSP dan akan dilaksanakan secara berfasa.

Ia sebagai komitmen kerajaan memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan sesuai dengan piawaian antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan kerajaan secara dasar telah meluluskan pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan buli siber di laman media sosial.

Menurutnya, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan dijangka dibentangkan ke Parlimen pada sidang Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas.

“Saya tegaskan secara keseluruhan ini ialah langkah yang perlu diambil untuk menutup kelompongan dengan tindakan yang tegas terhadap mereka yang menjadi pembuli siber," katanya.

Tambah beliau, RUU Keselamatan Dalam Talian juga akan dibawa ke Parlimen sebagai usaha kerajaan memastikan penggunaan internet selamat khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga.

"Ancaman siber kini semakin menggugat tata hidup bermasyarakat dan menjadi lebih membimbangkan.

“Isu scam, pornografi kanak-kanak, pembulian siber di media sosial sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa ialah isu besar yang mesti dibendung," tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!