Rakyat Kelantan terus suarakan solidariti Palestin
KOTA BHARU - Rakyat Malaysia di Kelantan meneruskan solidariti terhadap Palestin melalui perhimpunan di pekarangan Masjid Muhammadi di sini pada Jumaat.
Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Suara Gaza, Nazri Deraman berkata, perhimpunan itu sebagai usaha menggerakkan kembali sokongan terhadap negara terbabit yang ditindas dengan serangan Zionis lebih setahun lalu.
“Sepatutnya dari hari pertama perang (7 Oktober tahun lalu) sampai sekarang kita perlu lebih kuat menyokong Palestin atas dasar kemanusiaan.
“Perang semakin buruk dan kita sepatutnya menggerakkan rakyat Malaysia termasuk Kelantan ini untuk kembali memberi memberi sokongan yang kuat kepada Palestin,” katanya ketika ditemui pemberita pada Himpunan Aman Solidariti Suara Gaza di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Penasihat Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia, Wan Mohammad Sharafi Wan Mustafa yang membacakan doa Qunut Nazilah.
Menurut beliau, jelajah solidariti tersebut akan diteruskan ke daerah-daerah di Kelantan dan disertakan dengan kutipan tabung derma kepada rakyat Palestin.
Katanya, dalam tempoh lebih setahun badai ‘taufan’ al-Aqsa itu berlaku, pihaknya melalui gabungan lebih 10 NGO sudah menyalurkan RM2 juta bantuan kepada Gaza.
“Bantuan disalurkan dalam bentuk air bersih dan makanan seperti nasi serta roti.
“Kita masih lagi memerlukan sumbangan dan akan terus bergerak bersama-sama NGO kami yang turut ada di Brunei serta Indonesia,” katanya.
Sehingga kini, Malaysia berduka atas kehilangan seorang pejuang dan pembela rakyat Palestin, Al Syahid Yahya Sinwar yang dibunuh ganas oleh rejim biadab Zionis.
Sinwar dinamakan Ketua Utama Hamas pada 6 Ogos lalu sebagai pengganti kepada bekas ketua politik, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran pada 31 Julai lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!