Menteri Prabowo berkawad sebelum mulakan tugas

Prabowo (tengah) turut bersenam bersama-sama menteri Kabinet beliau. - Foto Agensi
Prabowo (tengah) turut bersenam bersama-sama menteri Kabinet beliau. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sekali lagi mencuri tumpuan selepas menteri Kabinet beliau tampil seperti seorang askar di sebuah akademi tentera di Magelang yang terletak di kawasan pergunungan Jawa Tengah pada Jumaat.

"Ia bermula dengan aktiviti bersenam dipimpin jurulatih dari akademi itu. Selepas 30 minit, agenda diteruskan dengan latihan kawad.

"Prabowo menjadi individu pertama tiba di padang dan beliau menjadi contoh seorang pemimpin berdisiplin," kata jurucakap Presiden, Hasan Nasbi.

Imej yang menjadi tular di media sosial turut menunjukkan bekas jeneral berusia 73 tahun itu bersama para menteri beliau lengkap memakai pakaian seragam tentera.

"Kita perlu bergerak selari dengan matlamat sama. Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan," lapor agensi berita Antara memetik kenyataan Prabowo yang mahu para menteri Kabinet Merah Putih beliau bersatu sebelum mula menggalas tugas masing-masing.

Raffi Ahmad selaku Utusan Khusus Prabowo turut berkongsi kepada 76 juta pengikut beliau tentang program tersebut.

"Presiden mahu mewujudkan kerja berpasukan lebih baik untuk penggal pentadbiran pada kali ini," katanya.

Selepas majlis angkat sumpah pada akhir minggu lalu, Presiden Indonesia Kelapan itu berikrar untuk memperkukuhkan pertahanan negara dan memerangi rasuh di bawah pentadbiran beliau.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, peguam hak asasi manusia telah menyuarakan kebimbangan jika Prabowo bersama sekutunya seperti Menteri Pertahanan, Sjafrie Sjamsoeddin yang turut didakwa melakukan pelanggaran hak asasi manusia ketika era pemerintahan Suharto akan memperluaskan lagi peranan tentera di negara demokrasi sekular tersebut. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!