Jho Low anggap Riza Aziz sebagai kawan baik - Jasmine Loo
KUALA LUMPUR - Bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan memberitahu Mahkamah Tinggi pada Jumaat bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low menganggap anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz sebagai kawan baik.
Jasmine, 51, berkata, beliau juga percaya Jho Low mempunyai hubungan rapat dengan Riza Aziz atau nama penuhnya Riza Shahriz Abdul Aziz, kerana kedua-dua mereka pernah pergi bercuti bersama keluarga di Whistler, Kanada, yang turut disertainya.
"Kali pertama saya bertemu Riza Aziz adalah dalam satu percutian bermain ski bersama Jho Low dan keluarganya di Whistler, Kanada antara Disember 2012 dan Januari 2013.
"Selepas itu, setelah saya melepaskan jawatan di 1MDB, saya bertemu dan berkenalan dengan beliau (Riza Aziz) dalam majlis lain ketika saya melancong ke luar negara bersama Jho Low,” kata Jasmine dalam kenyataan saksinya di sini pada Jumaat.
Jasmine memberi keterangan sebagai saksi plaintif 1MDB dan tiga anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited yang memfailkan saman terhadap Riza Shahriz serta dua syarikatnya atas dakwaan menerima dana kira-kira AS$248 juta yang disalah guna untuk kepentingan peribadi termasuk membiayai penerbitan filem serta membeli pelbagai hartanah.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Riza Shahriz, Jasmine ditanya sama ada beliau cuba menggambarkan defendan pertama sebagai kawan rapat Jho Low dalam keterangannya.
"Saya percaya begitulah (mereka kawan baik),” katanya dan menjelaskan bahawa bahawa pemahamannya adalah berdasarkan pemerhatian peribadi.
Wan Azwan Aiman: Jadi anda membuat andaian itu berdasarkan keterangan anda bertemu defendan pertama (Riza Aziz) semasa percutian bermain ski di Kanada. Adakah itu penanda aras anda sebagai kawan rapat?
Jasmine: Saya cuma memberikan contoh.
Wan Azwan Aiman: Anda juga pernah ke sana semasa lawatan ski. Adakah itu menjadikan anda juga kawan baik Jho Low?
Jasmine: Saya tidak menafikan perkara itu.
Jasmine seterusnya menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai pemindahan AS$700 juta daripada 1MDB kepada Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low, sebagai pembayaran semula wang pendahuluan yang dikatakan.
Jasmine berkata, semasa berada di 1MDB, beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai akaun bank di City National Bank di Los Angeles dan tidak tahu apa-apa mengenai pemindahan lebih AS$10 juta ke dalam akaun yang dimaksudkan sebagai akaun operasi untuk Red Granite Pictures.
Dalam penyata pembukaan 1MDB minggu lepas, dana kekayaan berdaulat itu memberitahu bahawa ansuran pertama pembayaran lebih AS$10,173 juta yang dibuat kepada Red Granite Pictures adalah daripada Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikawal oleh Jho Low, dan AS$248 juta yang diterima Red Granite Capital sebenarnya adalah daripada bon yang diperoleh oleh 1MDB untuk pembelian beberapa loji janakuasa.
Pada Mei 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy Holdings Ltd dan 1MDB Energy (Langat) Ltd, memfailkan saman terhadap Riza Shahriz, Red Granite Pictures Inc dan Red Granite Capital Ltd.
Dalam saman itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab atas salah guna dana itu dan menuntut agar ia dibayar balik.
1MDB mendakwa Riza Shahriz telah menyalah guna dana mereka daripada Jho Low atau bersikap sengaja dan cuai kerana gagal membuat pertanyaan yang relevan mengenai sumber dana berkenaan.
Dalam kenyataan pembelaan yang difailkan pada 25 Oktober 2021, Riza Shahriz dan dua syarikatnya mendakwa mendapat pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan akan disambung pada 28 Oktober. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!