Teresa Kok saman fitnah Muhamad Akmal isu halal

Teresa (kiri), Muhamad Akmal
Teresa (kiri), Muhamad Akmal
A
A
A

MELAKA – Naib Presiden DAP, Teresa Kok memfailkan saman fitnah terhadap Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin lalu, berhubung isu sijil halal.

Teresa selaku plaintif mengemukakan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners, berhubung kenyataan fitnah oleh Ketua Pemuda UMNO dalam video di aplikasi TikTok, pada 7 September lalu.

Beliau menamakan Muhamad Akmal selaku defendan tunggal dan menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka itu.

Teresa juga memohon injunksi untuk menghalang Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri itu, daripada terus menyebut, menulis atau menerbitkan perkataan yang memfitnahnya serta relif lain yang difikirkan adil serta sesuai oleh mahkamah.

Pemimpin DAP ini mendakwa defendan, membuat kenyataan menghina dan merendahkan yang membawa makna beliau bersifat perkauman, seseorang yang menyalahi undang-undang serta tidak menghormati agama Islam.

Beliau berkata, kenyataan Muhamad Akmal menggambarkannya tidak mempunyai pengetahuan khususnya mengenai pensijilan halal dan menentang dasar kerajaan mengenai amalan Islam.

“Perkataan fitnah defendan memberi bayangan bahawa saya telah mengancam Islam dan amalannya di Malaysia selepas isu pelaksanaan dan penguatkuasaan pensijilan halal diperkatakan.

“Defendan juga memberi gambaran bahawa saya sebagai seorang individu haram selain meminta kerajaan untuk menampal label haram di dahi,” menurut kenyataan Teresa.

Artikel Berkaitan:

Selain itu beliau berkata, defendan juga memberi maksud bahawa plaintif merupakan seorang nyonya tua, yang hanya akan memalukan negara kerana tidak mengambil peduli mengenai amalan pensijilan halal di negara ini.

Sebelum ini, peguam, Datuk Sankara Nair yang mewakili Teresa berkata, berdasarkan dokumen surat tuntutan (LOD), kenyataan fitnah dalam video di aplikasi sosial, telah merujuk anak guamnya secara langsung dan tidak langsung, dengan gelaran yang jelik.

Katanya, pemimpin DAP ini mendakwa, setakat September lalu, rakaman tersebut telah ditonton lebih 720,500 kali, dengan tanda suka sebanyak 75,000, 9,314 komen, 6,162 kegemaran dan sejumlah 8,784 perkongsian.

Katanya, kenyataan itu diterbitkan semula melalui pelbagai saluran media sosial termasuk portal berita.

Beliau berkata, ulasan berkenaan adalah palsu, melampau, keterlaluan, keji dan mengelirukan termasuk mencemarkan nama baik anak guam secara serius.

Sebelum ini, Teresa mempertimbangkan tindakan undang-undang selepas mendakwa Muhamad Akmal mahu menampal logo tidak halal pada dahi ahli Parlimen daripada DAP tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!