Siasatan kes culik, cabul kanak-kanak perempuan selesai

Hussein (tengah) selepas perasmian Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Jumaat.
Hussein (tengah) selepas perasmian Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Kertas siasatan berkaitan kes culik dan cabul melibatkan kanak-kanak perempuan di Bukit Tinggi baru-baru ini selesai dilengkapkan serta akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes terbabit melibatkan siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Klang Selatan dan Shah Alam.

"Enam suspek terlibat direman sehingga 30 Oktober depan dan kertas siasatan berkenaan akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya awal minggu depan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik orang daripada penjagaan sah selain Seksyen 375 B dan 377 C akta sama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Jumaat.

Katanya, kesemua suspek terlibat kemudiannya akan diserahkan kepada Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

"Tangkapan itu dijalankan untuk siasatan di bawah Seksyen 377 C berkaitan kes yang dilaporkan di Jinjang, Kepong.

"Setakat ini juga, seramai 25 saksi telah dirakam keterangan dan dua lagi suspek disyaki sindiket pelacuran turut diburu bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diculik di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, 8 Oktober lalu, dipercayai menjadi mangsa cabul serta cuba dijual kepada sindiket pelacuran di ibu negara.

Mangsa bagaimanapun berjaya dijumpai kira-kira jam 2.30 petang, 12 Oktober.

Susulan itu, polis menahan enam suspek termasuk dua wanita berusia lingkungan 13 hingga 23 tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!