Lima terkorban lori muatan batu bertembung kereta
GUA MUSANG - Lima terkorban termasuk empat sekeluarga dan seorang pemandu lori selepas terbabit dalam nahas melibatkan sebuah lori muatan batu serta kereta di Jalan Gua Musang-Lojing di sini pada Jumaat.
Mereka yang maut ialah, Mohd Junaizi Jusoh, 48, isterinya, Shazwani Ismail, 39, dan anak lelaki mereka, Muhammad Fakrul Danish Mohd Junaizi, 20.
Turut terkorban, adik Shazwani, Farhana Ismail, 35, dan pemandu lori, Mageswara Gopal, 53.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Nik Mohd Radzi Muhamad, berkata, kemalangan berlaku pada jam 11.45 pagi melibatkan lori 10 tan jenis Nissan dan kereta Perodua Myvi yang dinaiki keluarga terbabit.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 11.57 pagi.
“Pasukan BBP Gua Musang bergegas ke lokasi dalam jarak 86 kilometer dan tiba pada jam 1.24 tengah hari.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit dijalankan dan kelima-lima mereka yang terbabit dalam kemalangan itu meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Jumaat.
Nik Mohd Radzi berkata, operasi turut mendapat bantuan daripada BBP Cameron Highland dan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa-mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambah beliau, mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila lori dipandu dari arah Gua Musang menuju ke Lojing dipercayai terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh Perodua Myvi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!