Generali Malaysia bawa Festival Del Leone, tonjol keistimewaan Itali

Fabrice ketika merasmikan ‘Festival Del Leone’ di Piazza Level 3, Pavilion Bukit Jalil yang berlangsung dari 25 Oktober hingga 27 Oktober.
Fabrice ketika merasmikan ‘Festival Del Leone’ di Piazza Level 3, Pavilion Bukit Jalil yang berlangsung dari 25 Oktober hingga 27 Oktober.
A
A
A

SHAH ALAM - Generali Insurance Malaysia Berhad (Generali Malaysia) menampilkan ‘Festival Del Leone’ bagi meraikan budaya, makanan, kesejahteraan dan komuniti Itali dari 25 Oktober hingga 27 Oktober di Piazza Level 3, Pavilion Bukit Jalil.

Ketua Pegawai Eksekutif Generali Malaysia, Fabrice Benard berkata, festival itu turut membuka peluang kepada 150 gerai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk mempamerkan produk mereka.

Menurutnya, ia juga sebahagian daripada usaha syarikat yang mahu memperkasa dan memupuk pembangunan usahawan Malaysia.

“Generali berbangga dengan asal usul kami dari Itali, Festival Del Leone ini merupakan peluang terbaik untuk membawa sebahagian dari Itali ke Malaysia selain menyokong komuniti, artis-artis serta syarikat perniagaan tempatan.

“Acara ini mencerminkan komitmen kami untuk menjadi Rakan Sepanjang Hayat yang dipercayai, terlibat dengan komuniti, serta mencipta pengalaman yang bermakna bagi semua yang turut serta,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Fabrice memaklumkan bahawa festival itu turut membuka peluang kepada pengunjung untuk memenangi dua tiket penerbangan pergi dan balik ke Itali dengan dilindungi insurans perjalanan Generali Malaysia.

Bengkel seni Latte bersama media di Festival del Leone.
Bengkel seni Latte bersama media di Festival del Leone.

Jelasnya, untuk merebut peluang itu, pengunjung perlu menyelesaikan beberapa cabaran menarik di beberapa stesen dengan mengumpul cap pada poskad mereka dan menghantar kapsyen kreatif di perhentian terakhir.

Artikel Berkaitan:

Fabrice berkata, festival itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk peluang bertemu dan beramah mesra dengan watak jenama Generali iaitu Leo The Lion serta jualan lukisan Mona Lisa yang akan dihasilkan oleh 30 artis tempatan dengan versi unik.

“Semua hasil daripada jualan akan disalurkan kepada Yayasan Generali Gemilang. Ia sebuah yayasan amal yang berusaha untuk mengatasi jurang pendidikan bagi kanak-kanak dan keluarga yang kurang berkemampuan di Malaysia.

“Antara aktiviti lain yang menarik termasuklah bengkel membuat piza dan pasta, bengkel seni espreso dan latte, serta bengkel melukis topeng Venetian untuk kanak-kanak,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, para pengunjung boleh memanfaatkan pemeriksaan kesihatan asas percuma yang disediakan oleh rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Generali, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.

Pemeriksaan itu merangkumi tekanan darah, penyaringan jisim indeks tubuh (BMI) di samping demonstrasi kesedaran kanser payudara bagi menyokong Bulan Kesedaran Kanser Payudara.

Festival Del Leone ini terbuka untuk semua dan tiada bayaran dikenakan untuk memasuki ruangan festival.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!