Hilang kawalan punca nahas empat kenderaan

Lokasi kemalangan dan lori yang terlibat. Foto Ihsan IPD Segamat
Lokasi kemalangan dan lori yang terlibat. Foto Ihsan IPD Segamat
A
A
A

SEGAMAT - Hilang kawalan ketika memandu dipercayai menjadi punca kemalangan melibatkan empat kenderaan di kilometer (KM) 57, Jalan Muar-Segamat (Jementah), pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, selain lori treler dengan muatan simen itu, kemalangan tersebut turut melibatkan sebuah lori bounded membawa muatan roti, sebuah kereta dan sebuah motosikal.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori treler yang sedang dalam perjalanan dari Tangkak, hilang kawalan hingga terlanggar lori bounded yang sedang berhenti di tepi jalan.

“Akibat perlanggaran tersebut, lori bounded tersebut telah terlanggar bahagian belakang sebuah kereta yang sedang bergerak di sebelah kiri jalan.

“Kemudian lori berkenaan terbabas ke bangunan kedai dan melanggar sebuah motosikal yang berada di hadapan kedai berkenaan,” katanya.

Dalam kemalangan tersebut, semua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal warga tempatan berusia 66 tahun hanya mengalami cedera ringan di kaki kanan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan cuai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!