SPAN tubuh jawatankuasa khas bekalan air Perlis

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Bekalan Air Negeri Perlis bagi menjamin kelangsungan dan keselamatan bekalan air di negeri itu.

SPAN dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan jawatankuasa berkenaan, akan membantu Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP) mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) Pelan Perniagaan Tempoh Operasi ke-4 (OP4), yang telah dipersetujui pihaknya.

Kenyataan itu memaklumkan antara perkara yang menjadi fokus jawatankuasa khas untuk ditambah baik oleh SAP termasuk pengurangan air tidak terhasil (NRW), kualiti air terawat, margin simpanan air terawat, kesinambungan bekalan air, nisbah operasi, kompetensi dan strategi modal insan.

"SPAN sebagai badan kawal selia bagi perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Labuan memandang serius pencapaian sasaran KPI kesemua operator termasuk SAP, merangkumi tadbir urus secara menyeluruh, pengurangan kadar NRW serta keupayaan melaksanakan projek perbelanjaan infrastruktur di Perlis, bagi menjamin kelangsungan dan keselamatan bekalan air,” menurut kenyataan itu.

SPAN memaklumkan jawatankuasa khas itu akan diketuai oleh anggota SPAN dan turut melibatkan wakil Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), kerajaan negeri, SAP dan agensi utama yang berkaitan.

"Kesemua ahli yang dipilih merupakan pakar dalam industri perkhidmatan air,” menurut SPAN dalam kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!