'UMNO yakin Najib diperdaya, harap dalang utama ditemukan' - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO percaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bersalah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya yakin bahawa Najib telah diperdayakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba mengambil kesempatan serta meraih keuntungan atas penipuan itu.

“UMNO yakin bahawa kenyataan tersebut datang dari hari nurani yang suci dan tulus serta menzahirkan perasaan ikhlas Najib. UMNO juga menegaskan kenyataan itu menggariskan bahawa beliau telah diperdayakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Parti ini dan seluruh ahlinya memanjatkan doa kepada ALLAH SWT agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan. Semoga dalang utama yang sebenar dalam kes SRC dan 1MDB dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pekan itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia menerusi kenyataan dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar berhubung salah laku yang berlaku dalam 1MDB terutama ketika di bawah pengawasannya selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

Mohamad Nizar, 46, berkata, setiap hari bapanya berasa amat terluka apabila mengetahui kecurangan yang berlaku dalam syarikat strategik negara terbabit, terjadi semasa di bawah pengawasannya sebagai menteri.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu, jelas bapanya bukan dalang di 1MDB dan tidak pernah bersekongkol dengan Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho), namun Najib telah dihukum atas tanggungjawab yang dipikul.

Mengulas mengenai permohonan maaf itu, Asyraf Wajdi memaklumkan, ia bukti jelas menunjukkan Najib mempunyai semangat dan jiwa besar sebagai pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat dalam apa sahaja keadaan.

Artikel Berkaitan:

“UMNO yakin bahawa kenyataan tersebut datang dari hati nurani yang suci dan tulus. Ia menzahirkan perasaan ikhlas Najib.

“Tindakan memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekhilafan yang tidak terniat ini sudah tentu menunjukkan peribadi luhur murni serta kecintaan tidak berbelah bahagi kepada rakyat dan negara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!