'Jumpa di mahkamah nanti' - Kor Ming

Kor Ming
Kor Ming
A
A
A

IPOH - Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil terhadap Razman Zakaria yang telah mengaitkannya dalam penganjur sambutan Guan Gong Sedunia yang melibatkan warga China mengibar bendera negara tersebut di Menara Condong di Teluk Intan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu berkata, arahan telah diberikan kepada pasukan peguamnya untuk mengkaji dakwaan yang dilemparkan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu.

"Laporan polis telah dibuat terhadap Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak yang terang-terangan buat fitnah. Mengikut kenyataannya, saya merasmikan perarakan itu sedangkan saya bermesyuarat di Kuala Lumpur.

"Jelas perkara ini fitnah dan saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengkaji kes ini dan sekiranya berasas, 'see you in court' (jumpa di mahkamah nanti)," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Hospital di sini pada Jumaat.

Kor Ming beramah mesra dengan penduduk, K Panjawarnan, 49 (kiri) dalam lawatan dan perasmian Pusat Komuniti KRT Jalan Hospital di Ipoh.
Kor Ming beramah mesra dengan penduduk, K Panjawarnan, 49 (kiri) dalam lawatan dan perasmian Pusat Komuniti KRT Jalan Hospital di Ipoh.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan menjelaskan bahawa penganjuran sambutan keagamaan itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik.

Tambahnya, Teluk Intan telah dipilih untuk penganjuran perarakan Guan Gong antarabangsa itu malah turut mengibarkan bendera seperti Thailand dan Vietnam selain China.

"Difahamkan pihak penganjur ada buat permohonan maaf. Bagaimanapun, saya harap pihak penganjur lebih sensitif.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga mahu warga asing menghormati undang-undang negara kita. Kedaulatan wajib dihormati supaya insiden sedemikian tak berulang lagi," katanya.

Sebelum ini, penganjur sambutan di Stesen Malaysia itu tampil memohon maaf susulan penularan video perarakan sambil mengibar bendera China di tempat kejadian pada Khamis malam.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua berkata, tindakan itu dilakukan oleh peserta rombongan dari China yang menyertai perarakan sambutan berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!