7,839 notis kompaun kesalahan merokok dikeluarkan di Pulau Pinang

Pegawai Kesihatan menjalankan advokasi mengenai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang telah dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu.
Pegawai Kesihatan menjalankan advokasi mengenai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang telah dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebanyak 7,839 notis dengan nilai tawaran kompaun bernilai RM1.115 juta telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang atas kesalahan berkaitan peraturan larangan merokok di premis awam, termasuk kedai makan.

Tindakan penguatkuasaan itu dikenakan terhadap tuan punya premis dan individu yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 bermula Januari tahun ini sehingga 30 September lalu.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Alias Abdul Aziz berkata, dalam tempoh itu pihaknya turut merampas dan menyita hasil tembakau atas pelbagai kesalahan di bawah peraturan sama berjumlah RM11,413.45 selain memeriksa sebanyak 7, 447 premis di negeri ini.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang akan terus memantau dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan terutama di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sangat komited bagi memastikan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dikuatkuasakan.

"Tujuan penguatkuasaan ini adalah bagi mengurangkan kesan buruk amalan merokok yang berleluasa, termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak dan remaja,"katanya ketika berucap semasa melancarkan Operasi Mega Bersepadu Akta 852 Peringkat Pulau Pinang, pada Jumaat.

Beliau berkata, Akta 852 ini sangat penting bagi melindungi kesihatan awam malah menurut rekod Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan tabiat merokok membunuh lebih lapan juta penduduk dunia setiap tahun, termasuk 1.2 juta perokok pasif.

Beliau berharap dengan pelaksanaan ini dapat menurunkan kes tiga penyakit utama berkaitan tabiat merokok iaitu barah paru-paru, jantung dan penyakit paru-paru tersumbat kronik (COPD) akibat merokok.

Artikel Berkaitan:

"Dengan pelaksanaan undang-undang ini, ia bukan sahaja membolehkan kawalan tembakau mempunyai undang-undangnya tersendiri malah ia turut membenarkan kerajaan mengawal selia produk tembakau, bahan merokok serta produk pengganti tembakau yang berada secara tidak sah di pasaran negara,"katanya lagi.

Sementara itu, dalam operasi mega yang dijalankan, sebanyak 133 premis di sekitar Seberang Perai dilawati termasuk di kawasan Inderawasih, Nagasari, Butterworth dan Seberang Jaya.

Dalam operasi yang bermula jam 8 pagi itu turut melibatkan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!