Karnival MBMMBI perkasa kemahiran dwibahasa

Dr Mohd Azam Ahmad (berdiri tengah) ketika majlis pembukaan Karnival MBMMBI Institut Pendidikan Guru Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 yang diadakan di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu, di sini pada Khamis.
Dr Mohd Azam Ahmad (berdiri tengah) ketika majlis pembukaan Karnival MBMMBI Institut Pendidikan Guru Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 yang diadakan di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu, di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bagi memastikan agenda Reformasi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencapai sasarannya, peningkatan kemahiran dwibahasa terus diperkasa menerusi penganjuran Karnival Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Karnival hasil gabungan tenaga dan garapan idea daripada 27 Institut Pendidikan Guru (IPGM) kampus seluruh negara dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Bahasa MBMMBI mampu menyemarakkan aktiviti kebahasaan dalam kalangan pensyarah, siswa guru, sekolah, pengajar IPG dan komuniti setempat.

Rektor IPGM, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, Karnival MBMMBI Peringkat Kebangsaan 2024 selama dua hari bermula 24 hingga 25 Oktober julung kali dilaksanakan dengan konsep bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bergerak seiring dan sejalan.

Menurutnya, karnival itu menjadi platform untuk menyemai semangat cintakan bahasa, ilmu dan budaya yang akan kekal menjadi warisan generasi akan datang.

“Karnival MBMMBI kali ini membawa tema yang sangat sesuai dengan aspirasi negara, iaitu ‘Seni Berbahasa Wahana Perpaduan Madani’.

Mohd Azam melawat reruai Karnival MBMMBI.
Mohd Azam melawat reruai Karnival MBMMBI.

“Tema ini melambangkan peranan penting bahasa sebagai medium perpaduan, selari dengan prinsip-prinsip Malaysia Madani yang menekankan nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keharmonian.

“Justeru, pelbagai aktiviti dan pertandingan dilaksanakan bagi memupuk semangat dan mewujudkan suasana realiti terutamanya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Karnival Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris 2024 di IPGM Kampus Bahasa Melayu, di sini pada Khamis.

Jelasnya, pertandingan seperti pantun, syair, dan nyanyian lagu rakyat bukan sahaja dapat memperkukuh penguasaan bahasa, malahan turut membantu dalam melestarikan khazanah lisan Melayu.

“Khazanah lisan ini merupakan warisan budaya yang perlu kita pelihara dan hargai kerana keunikannya menjadi cerminan identiti dan jiwa bangsa.

“Melalui aktiviti ini, kita bukan sahaja meneruskan tradisi, tetapi juga menyemai rasa cinta kepada bahasa dan budaya dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Tambahnya, karnival tersebut menjadi platform memupuk kebersamaan rakyat menerusi aktiviti kebahasaan selari dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, iaitu bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Persembahan oleh pelajar pada Karnival MBMMBI Peringkat Kebangsaan 2024.
Persembahan oleh pelajar pada Karnival MBMMBI Peringkat Kebangsaan 2024.

“Dari aspek sastera dan budaya, penganjuran Karnival MBMMBI juga berupaya meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian budaya khususnya kesenian tradisional.

“Pelaksanaan Karnival MBMMBI ini menekankan konsep Sahabat Bahasa yang merupakan satu konsep bimbingan dinamik antara rakan agar semua warga IPGM KPM dapat menguasai pengetahuan, kemahiran, nilai dan etika berbahasa,” katanya.

Ujarnya, penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang terampil adalah penting supaya rakyat Malaysia dapat berkomunikasi dengan fasih dan yakin dalam kedua-dua bahasa.

Popularkan konsep berbahasa dengan betul

Mohd Azam turut meletakkan keyakinan bahawa penganjuran Karnival MBMMBI turut membantu mempopularkan konsep budaya berbahasa yang betul dalam komunikasi harian walaupun dalam situasi santai.

“Memikirkan perkara baik perlu dikongsi bersama, maka dalam Karnival MBMMBI IPGM 2024 turut mengundang sekolah Pengajar IPGM dan sekolah-sekolah sekitar Bangsar dan Pudu.

“Hasratnya, segala hasil kerja warga IPGM khususnya inovasi pembelajaran dan pengajaran (PdP) bahasa Melayu, bahan penerbitan dan aktiviti MBMMBI dapat dijadikan rujukan oleh para pelawat dalam karnival ini,” katanya.

Tambahnya, istimewanya kali ini IPGM mengadakan aktiviti kebahasaan dari seluruh pelosok negara termasuk menonjolkan budaya berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang betul walaupun datang dari pelbagai etnik dan budaya berbeza.

No Image Caption

Kerjasama dengan universiti swasta

Mengulas mengenai kerjasama dengan universiti swasta, Mohd Azam mengakui memang terdapat pihak universiti swasta yang mahu bekerjasama dengan IPGM.

“Pada karnival ini ada guru -guru dari Kazakhstan yang hadir dan mereka mahu melihat pelaksanaan program MBMMBI ini dan mungkin selepas ini mereka akan berkongsi pula pendekatan strategi negara mereka dalam bahasa Inggeris.

“Memang banyak pihak yang ingin bekerjasama dengan IPGM namun kita akan susun supaya ia mengikut prosedur dan cara yang betul,” katanya.

Tambahnya lagi, IPGM turut menerima jemputan kerjasama dari guru-guru dari Singapura dan perkara itu sedang diteliti.

Aktiviti Karnival MBMMBI

• Pertandingan Citra Pantun Melayu

• Pertandingan Pidato

• Pertandingan Syair

• Pertandingan Nyanyian Lagu Rakyat

• Public Speaking Competition

• Poetry Recitation Competition

• Skit Competition

• Vocal Ensemble Competition

• Pertandingan Tik Tok (Kategori: Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris)

• Pertandingan Resensi Buku (Kategori: Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris)

• Pertandingan Kulit Buku (Kategori: Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris)

Reaksi

ARIFAH
ARIFAH



“Karnival MBMMBI menyatukan warga kampus IPGM, kami dapat berkongsi idea.” - Arifah Nurbazilah Bat Latiff, 22, Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Major Bahasa Melayu Minor Sejarah.

KAWSALYA
KAWSALYA



“Siswa guru dapat pendedahan MBMMBI sebagai persediaan menghadapi dunia sebenar pendidikan negara.” - Kawsalya Ravichandran, 22, Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Major Bahasa Melayu Minor Sejarah

NUR BASYIRA
NUR BASYIRA



“Dasar pendidikan negara dan MBMMBI perlu bergerak seiring bagi melahirkan pelajar berwibawa dan mampu bersaing diperingkat global.”- Nur Basyira Haniffa, 22, Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Major Bahasa Melayu Minor Sejarah

AQIL FAHMI
AQIL FAHMI

“Siswa guru dapat bekerjasama dengan pihak sekolah untuk memberikan mereka input untk menjayakan MBMBI.” - Aqil Fahmi Mohd Mustafar, 20, Ijazah Sarjana Muda Penguruan, Opsyen Bahasa Melayu Pendidikan Rendah

AHMAD IZMIR
AHMAD IZMIR



“Dapat menggalakkan penghasilan karya ilmiah dan kreatif di kalangan pelajar dan pensyarah IPGM menerusi pameran buku.” - Ahmad Izmir Azuka, 20, Ijazah Sarjana Muda Penguruaan, Opsyen Bahasa Melayu Pendidikan Rendah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!