Tabib Adam 'ghaib' tinggalkan rumah kuning

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Pengasas perubatan Islam Jarak Jauh yang lebih dikenali sebagai Tabib Adam 'ghaib' dipercayai telah melarikan diri selepas Melaka memfatwakan kaedah perubatan dilakukannya adalah haram.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan individu yang nama sebenarnya Adam Isa telah melarikan diri bersama isteri ke negeri asalnya di Singapura.

Menurutnya, serbuan yang diketuai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Khamis bermula jam 11.30 pagi itu mendapati pusat rawatan dan tempat jualannya telah ditutup, namun terdapat dua anaknya iaitu lelaki dan perempuan.

Katanya, JAIM juga akan mendapatkan bantuan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengesan individu itu bagi membantu siasatan.

"Individu terbabit diminta supaya memberikan kerjasama untuk datang ke JAIM bagi tujuan membantu siasatan.

"Kerjasama dari orang ramai juga diperlukan bagi menyalurkan maklumat kepada JAIM menerusi talian 0172661280," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) juga berusaha menghubungi individu itu namun gagal selain mendapati pusat perubatan yang berada di Kampung Lekuk, Masjid Tanah tidak lagi beroperasi.

Ujarnya, berdasarkan maklumat yang diterima individu itu menghilangkan diri dengan pulang ke Singapura namun kembali semula ke Malaysia selepas beberapa ketika.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam operasi bersepadu itu pihaknya turut menahan dua wanita dipercayai pekerja di pusat terbabit masing-masing berusia 38 dan 44 tahun bagi membantu siasatan.

"Kedua-dua mereka disyaki masih melakukan aktiviti perubatan tersebut walaupun telah diputuskan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

"Ini kerana mengandungi unsur yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah dan syariah oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka pada 12 September lalu," katanya lagi.

Jelasnya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu menghina agama Islam dengan mengingkari atau melanggar fatwa yang telah diwartakan.

"Turut dirampas dalam serbuan yang berakhir jam 3 petang itu termasuk papan tanda di pintu gerbang, buku resit, ubat-ubatan, risalah berkaitan produk kesihatan," katanya

Terdahulu Sinar Harian melaporkan rumah berwarna kuning yang pernah terkenal sebagai 'Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh' di Masjid Tanah digempur penguat kuasa dan pegawai JAIM.

Operasi serbuan itu turut disertai penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

ends

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!