Polis lepas dua das tembakan, suspek curi kabel TNB ditahan
GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Tindakan lelaki yang memecut laju kenderaan yang dipandunya sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya mengundang padah apabila dia ditahan pada jam 6.35 petang, Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan pada tayar depan sebelah kiri kereta jenis Honda Civic yang dipandu suspek.
Menurutnya, polis menyedari kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan berhampiran Bilik Pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) Jalan Kelawei di sini, sebelum mengejarnya
"Anggota polis yang sedang menjalankan rondaan mendapati sebuah kereta dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan lalu mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan.
"Suspek bagaimanapun memecut kenderaan dan ingin melanggar anggota polis yang menahannya. Suspek juga memandu secara bahaya sehingga melanggar beberapa buah kereta yang berada berdekatan kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Tambah Swee Sake, susulan daripada itu, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan namun suspek masih terus memandu kenderaannya itu.
"Suspek terus memandu namun terpaksa berhenti kira-kira 200 meter dari tempat kejadian kerana tayar kereta pancit. Bagaimanapun, suspek sempat melarikan diri ke arah kawasan Midland.
"Suspek cuba bersembunyi namun tindakan pantas pasukan polis IPD Timur Laut berjaya menahan suspek di sebuah kompleks beli belah di situ. Jarak suspek melarikan diri sejauh 500 meter dari lokasi dia meninggalkan keretanya," katanya.
Jelasnya, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai terlibat dalam kes curi kabel tembaga di bilik pencawang TNB.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!